Lori keluar masuk bongkar kegiatan seleweng LPG

Anggota KPDN memeriksa tong LPG yang ditemukan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Alor Bukit, Kulai, Johor pada Isnin.
Anggota KPDN memeriksa tong LPG yang ditemukan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Alor Bukit, Kulai, Johor pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pergerakan keluar masuk lori yang mencurigakan di stor dalam kawasan tersorok di Jalan Alor Bukit, Kulai, Johor membongkar kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG), pada Isnin.

Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mendapati premis terbabit terletak di belakang sebuah rumah ibadat dan ditutupi dengan pagar zink.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya secara bersepadu bersama KPDN Johor bermula kira-kira jam 7.30 malam.

Beliau berkata, operasi ini susulan hasil aduan orang awam melalui inisiatif KITA GEMPUR dan risikan yang dijalankan.

Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah LPG di dalam premis itu bersama beberapa peralatan lain dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting.
Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah LPG di dalam premis itu bersama beberapa peralatan lain dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah kenderaan berat di dalam premis itu selain dua buah lori dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sejumlah LPG di dalam premis itu bersama beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting, iaitu memindahkan gas daripada tong berkapasiti 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong berkapasiti 50kg untuk kegunaan industri bukan bersubsidi," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, semakan turut mendapati premis ini tidak mempunyai dokumen yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan.

Artikel Berkaitan:

"Sejumlah 368 unit tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg, sebuah lori, paip getah penyambung, alat timbang pelantar serta beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM135,000," katanya.

Menurutnya, dua individu iaitu seorang lelaki berumur 51 tahun dipercayai pemilik premis bersama seorang lelaki warga asing berumur 38 tahun dipercayai pekerja ditahan untuk siasatan lanjut.

"Modus operandi sindiket adalah dengan membeli bekalan LPG daripada pemborong LPG berlesen di sekitar kawasan Kulai, Johor Bahru sebelum dikumpulkan di stor ini.

"Kertas siasatan dibuka dan siasatan sedang dijalankan di bawah Akta 122 bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran LPG berkenaan," katanya.

Azman berkata, mana-mana pihak berkaitan diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Jelas beliau, sebanyak 196 kes telah dihasilkan di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM815,960.90 bermula 1 Januari hingga 16 Disember 2024.

"Hasil tindakan kes ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif KPDN dalam usaha membanteras isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat menerusi saluran disediakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!