Operasi bawah had, 320 kilogram hasil ikan bilis dirampas
LUMUT - Sebanyak 320 kilogram hasil ikan bilis dirampas susulan penahanan sebuah vesel penangkapan ikan di 0.2 batu nautika tenggara Pulau Rumbia di sini pada Selasa.
Operasi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jam 4.14 petang itu dilakukan selepas mendapati, vesel pukat jerut bilis terbabit beroperasi di bawah had dibenarkan.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, tinjauan secara dekat pasukan operasi KM Jepak di lokasi mengesahkan vesel tersebut sedang melakukan aktiviti perikanan yang tidak dibenarkan bagi mengaut keuntungan besar.
"Pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, vesel itu dikendalikan seorang tekong dibantu tujuh kru warga tempatan.
"Kesemua mereka berusia lingkungan 23 hingga 65 tahun telah ditahan, manakala bot bersama peralatan dan hasil tangkapan ikan bilis dengan anggaran 320 kilogram bernilai keseluruhan RM42,000 dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dua batu nautika dari pulau yang diwartakan sebagai taman laut.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang laporan atau aduan berkaitan insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05- 6838737) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
"Komuniti maritim diingatkan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak tindakan undang-undang diambil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!