Warga emas diacu pisau, wang simpanan RM2,300 lesap dilarikan penyamun

Mohd Zawawi (kanan) menenangkan Mamat (kiri) yang masih trauma dengan insiden berlaku awal pagi Rabu. FOTO: Facebook Cikgu Awi
Mohd Zawawi (kanan) menenangkan Mamat (kiri) yang masih trauma dengan insiden berlaku awal pagi Rabu. FOTO: Facebook Cikgu Awi
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang warga emas terpaksa menyerahkan wang simpanan bernilai RM2,300 setelah digertak oleh seorang penyamun yang bertindak memecah masuk kediamannya di Kampung Dusun, di sini awal pagi Rabu.

Mangsa, Rabiah Hamzah, 73, berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dia sempat melarikan diri meminta tolong jiran berdekatan setelah ternampak suaminya, Mamat Samad, 88, diacukan pisau.

Menurutnya, kehadiran suspek disedari suaminya yang ketika itu ingin menunaikan solat.

Mamat
Mamat

"Masa kejadian saya sedang tidur di atas katil di bahagian dapur. Waktu tu, suami naik ke rumah untuk sembahyang dan ternampak seorang lelaki tidak dikenali berada dalam rumah.

"Tidak lama kemudian, suami turun ke dapur untuk kejutkan saya malangnya ketika itu suspek telah mengekorinya dari belakang.

"Saya yang baru tersedar terkejut sebab nampak suspek beberapa kali acukan pisau pada suami sambil meminta kami menyerahkan duit dan emas.

"Dalam keadaan cemas itu kami terpaksa tunjuk tempat simpanan duit," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Rabiah berkata, penjenayah itu berjaya melarikan wang tunai kira-kira RM2,300 dengan menunggang sebuah motosikal.

Katanya, selain wang tunai dua beg termasuk yang berisi kad pengenalan serta dokumen peribadi penting lain miliknya juga turut dilarikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 3 pagi pada Rabu.

Katanya, suspek yang dipercayai lelaki warga tempatan memasuki rumah berkenaan melalui pintu tingkap yang tidak berjeriji serta memakai baju berwarna hitam bertutup kepala (foodie).

"Dalam kejadian itu, kedua-dua warga emas itu tidak mengalami kecederaan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan ke bilik gerakan polis IPD Hulu Terengganu di talian 09- 6812222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Aiman Baihaqi Che Shaffie di talian 019- 9377864," katanya.

Insiden menimpa pasangan warga emas itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail yang meluangkan masa menziarahi keluarga tersebut pada petang Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!