Kilang keropok, rumah pekerja roboh dihempas ombak

Mohd Lokman (kanan) bersama Hasmizi (kiri) melihat struktur sebahagian kediaman yang runtuh dibadai ombak besar ketika tinjauan Bernama di Kampung Dalam Rhu, Pachakang, pada Rabu. Foto Bernama
Mohd Lokman (kanan) bersama Hasmizi (kiri) melihat struktur sebahagian kediaman yang runtuh dibadai ombak besar ketika tinjauan Bernama di Kampung Dalam Rhu, Pachakang, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebuah rumah pekerja roboh manakala sebahagian besar bangunan kilang memproses keropok di Kampung Dalam Rhu, Pachakan, di sini runtuh susulan fenomena air pasang besar malam semalam.

Pemilik kilang keropok, Asmalaili Kedah, 43, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10.30 malam ketika dia bersama suaminya Hasmizi Admin, 43, dan beberapa pekerja sedang mengemas peralatan di dalam premis berkenaan yang terletak kurang 100 meter dari Pantai Dalam Rhu.

Keadaan hakisan pantai yang berlaku berikutan ombak besar menyebabkan struktur sebahagian kediaman runtuh ketika tinjauan Bernama di Kampung Dalam Rhu, Pachakang, pada Rabu. Foto Bernama
Keadaan hakisan pantai yang berlaku berikutan ombak besar menyebabkan struktur sebahagian kediaman runtuh ketika tinjauan Bernama di Kampung Dalam Rhu, Pachakang, pada Rabu. Foto Bernama

"Ketika itu tiba-tiba ombak besar menghempas bangunan menyebabkan keseluruhan kediaman pekerja yang terletak bersebelahan kilang, roboh dan dihanyutkan ombak manakala sebahagian bangunan kilang runtuh di depan mata kami.

"Saya amat terkejut dan menjerit memanggil dua anak pekerja yang masih berada di dalam rumah untuk menyelamatkan diri," katanya dan menambah dua hari lepas, hanya bahagian dapur rumah itu roboh dihanyutkan ombak.

Asmalaili berkata, walaupun dia dan pekerja masih dalam keadaan trauma, namun bersyukur kerana tiada kecederaan dilaporkan susulan kejadian itu.

"Kejadian ombak besar luar biasa ini kali pertama berlaku sejak 14 tahun kami menetap di kawasan ini. Berkemungkinan malam ini kejadian sama akan berulang dan tidak mustahil keseluruhan kilang akan musnah sepenuhnya," katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Berikutan kejadian itu, dia membawa pekerjanya menetap di rumahnya yang terletak di kampung sama sementara mendapatkan kediaman lain.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pekerja kilang keropok berkenaan, Mohd Lokman Mat Nor, 46, berkata, majikannya telah menasihatinya untuk berpindah minggu lepas, namun ketika itu isterinya uzur akibat kanser rahim.

"Saya tidak mahu menyusahkan isteri yang sedang sakit, namun empat hari lepas dia meninggal dunia, selepas pemergiannya rumah kami pula roboh dihanyutkan ombak," katanya yang reda dengan kejadian yang menimpa dirinya sekeluarga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!