Piala ASEAN: 'Kami tetap yakin dengan Haziq'

Haziq Nadzli
Haziq Nadzli
A
A
A

PEMAIN tengah Harimau Malaya, Endrick Dos Santos sentiasa memberikan sokongan padu kepada penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli meskipun kesilapannya menyebabkan Malaysia kecundang 0-1 kepada Thailand dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Piala ASEAN di Bangkok pada Sabtu.

Endrick berkata, dalam perlawanan adakala kesilapan tidak disengajakan dan Haziq kekal tonggak penting dalam skuad negara.

“Kami tahu dia seorang penjaga gawang yang hebat. Kami tetap yakin dengan kemampuannya.

“... (kesilapan) boleh berlaku kepada saya dan semua pemain lain. Jika jurulatih memilihnya saya percaya dia mampu untuk beraksi,” kata Endrick ketika ditemui pemberita pada sesi latihan hari ini.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata, semua pemain lega berikutan lawan terakhir Kumpulan A iaitu Singapura tewas 2-4 kepada Thailand malam tadi.

Bagaimanapun, pemain naturalisasi kelahiran Brazil itu menyeru rakan sepasukan memberikan sepenuh tumpuan untuk melakar kemenangan dalam ‘Derby Causeway’ di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Jumaat.

“Saya rasa kami ada peluang cerah (menentang Singapura) apatah lagi beraksi di laman sendiri. Jadi, kami perlukan sokongan peminat,” katanya.

Malaysia perlu menewaskan Singapura untuk melangkah ke separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Thailand ketika ini mendahului Kumpulan A dengan sembilan mata diikuti Singapura (enam mata), Kemboja (empat mata), Malaysia (empat mata) dan Timor-Leste berada pada kedudukan terakhir tanpa sebarang mata.

Andai mampu menundukkan Singapura, Malaysia akan memperoleh tujuh mata yang sepatutnya cukup untuk menempah tempat kedua dalam Kumpulan A kerana Thailand dijangka tidak berdepan masalah menewaskan Kemboja di laman sendiri di Stadium Nasional Rajamangala.

Hanya dua pasukan teratas Kumpulan A dan Kumpulan B bakal mara ke peringkat separuh akhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!