Kembara Kawal Diabetes 2024 asah kemahiran klinikal mahasiswa fisioterapi KPJU
SHAH ALAM - Mahasiswa fisioterapi dari Universiti KPJ Healthcare (KPJU) berpeluang mengasah kemahiran klinikal menerusi program Kembara Kawal Diabetes 2024 yang diadakan di Klinik Kesihatan Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Disember lalu.
KPJU dalam satu kenyataan berkata, program itu secara tidak langsung meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan fisioterapi melalui Prescribed Senaman dalam menangani penyakit kronik seperti diabetes.
Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan seperti senaman pagi, ujian saringan kesihatan Elderly Fitness Test (Functional Capacity Evaluation), Fun Walkathon dan zumba dikendali dengan kreatif oleh mahasiswa fisioterapi di bawah pimpinan Nur Elyana Anuar.
“Para mahasiswa berpeluang mencipta koreografi senaman khas untuk pesakit diabetes warga emas yang menjadikan sesi ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga bermanfaat.
“Ujian saringan seperti Chair Stand Test (CST), Arm Curl (AC), Chair Sit and Reach Test (CSRT), Back Scratch Test (BST) dan 2-Minute Step in Place Test (2-MSPT) dilakukan bagi menilai tahap fleksibiliti, stamina serta kekuatan otot peserta.
“Ia juga bertujuan membantu pesakit memahami tahap kesihatan dan kemampuan fizikal mereka serta motivasikan mereka untuk meningkatkan gaya hidup sihat," katanya pada Rabu.
Tambah KPJU, ucapan perasmian dilakukan Ketua Klinik Kesihatan, Dr Nur Aslizah Alias dan Ketua Jabatan Unit Fisioterapi KPJU, Affan Abdullah serta sesi ceramah oleh Pegawai Pemakanan Klinik Kesihatan Nilai, Nabilah Mohamed Zenuri.
Ujarnya, program berkenaan berjaya menarik penyertaan yang ramai dalam kalangan pesakit diabetes sesuai dengan insiatifnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan senaman.
“Selain itu, ia juga merangkumi pengambilan ubat-ubatan secara konsisten dan amalan pemakanan yang sihat seiring dengan peningkatan kadar pesakit diabetes di Malaysia.
“Ia bukan program biasa tetapi merupakan platform untuk membina komuniti yang sihat dan berilmu sambil menginspirasi dan memperkasakan bidang fisioterapi dalam kalangan masyarakat umum.
"Malah, ia bukan hanya memberi manfaat kepada pesakit, namun turut mengukuhkan hubungan antara mahasiswa, industri kesihatan dan masyarakat,” ulasnya.
Dalam pada itu, KPJU berkata, sambutan yang menggalakkan itu mencerminkan usaha semua pihak yang terlibat dan ia menjadi pemangkin kepada program kesihatan komuniti lebih inovatif pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!