Treler rempuh empat kereta, pelajar IPG maut
GUA MUSANG - Seorang pelajar Insititut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Terengganu maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki bersama rakannya dirempuh treler dalam kejadian di Kilometer 16, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini, pada Rabu.
Kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nurul Alya Fatnin Mohd Mawardzi, 22, bersama tiga lagi rakannya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke IPG Kampus Sultan Mizan.
Selain Proton X50 kemalangan itu turut melibatkan tiga buah kereta lain iaitu Proton Saga dan dua buah Perodua Axia.
Kemalangan terbabit dipercayai melibatkan 13 mangsa termasuk pemandu treler.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian treler jenis Volvo yang dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Kuala Lipis, Pahang menghala ke Gua Musang.
"Semasa tiba di lokasi pemandu treler tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar dua buah kereta masing-masing jenis Perodua Axia dan Proton Saga.
"Kemudiannya, treler tersebut melanggar belakang sebuah Perodua Axia dan Proton X50 yang berada di bahu kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kesan pelanggaran itu menyebabkan pemandu Proton X50 mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala penumpang hadapan cedera ringan.
Ujarnya, penumpang belakang di sebelah kiri mengalami kecederaan pada bahagian pinggul dan seorang lagi maut di lokasi.
Choon Foo memberitahu, pemandu Perodua Axia telah cedera parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Tambah beliau, enam lagi mangsa dipercayai mengalami kecederaan ringan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan boleh menghubungi talian 09-9121222 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!