Dua pelajar UiTM parah, motosikal langgar kereta
SHAH ALAM - Dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) parah selepas motosikal ditunggang mereka melanggar sebuah kereta dalam kemalangan di persimpangan Persiaran Permai - Jalan Plumbum 7/98, Seksyen 7 pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.25 pagi melibatkan motosikal jenis Modenas RS200 serta sebuah kereta jenis Proton Saga.
"Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berumur 53 tahun itu datang dari arah Persiaran Permai hendak membelok kanan ke Jalan Plumbum 7/98.
"Motosikal ditunggang dua mangsa yang bergerak lurus di Persiaran Permai bagaimanapun dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian hadapan kereta terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berumur 22 tahun itu mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki akibat kejadian.
"Kedua-dua mangsa itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354 untuk membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!