Tapir jantan 220kg terperangkap dalam parit
SETIU - Penduduk Kampung Jelapang di sini terkejut apabila terserempak dengan seekor tapir jantan seberat 220 kilogram (kg) yang terperangkap selepas terjatuh ke dalam parit dipenuhi air pada Rabu.
Seorang penduduk, Wan Zahhar Wan Zakaria, 26, berkata, haiwan itu ditemui ketika dalam perjalanan ke rumah ibu mentuanya kira-kira jam 8 pagi.
Menurut Wan Zahhar, pada mulanya dia cuba membantu untuk mengeluarkan haiwan itu dari parit berkenaan namun tidak berjaya.
"Saya cuba halau agar ia dapat keluar dari parit itu malangnya tidak berjaya memanjat bahagian tebing kerana agak tinggi dan licin.
"Apabila melihat keadaan itu, saya segera meminta rakan sekampung menghubungi pihak Perhilitan untuk menyelamatkan tapir berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, haiwan itu berjaya dipindahkan ke lokasi selamat pada hari sama.
"Kita menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 8.10 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
"Kita berjaya menangkap Tapir jantan itu dengan menggunakan tembakan pelali serta memasukkannya ke dalam perangkap.
"Ia berjaya dilepaskan kembali ke habitat asalnya bagi kemandirian spesies haiwan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!