2 rakyat Malaysia tahanan Guantanamo diarah jalani proses penilaian
KUALA LUMPUR - Dua rakyat Malaysia yang diserahkan Amerika Syarikat selepas ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo di Cuba sejak 18 tahun lalu diarahkan menjalani proses penilaian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia menerima Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep pada Rabu.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan supaya kedua-dua individu itu menjalani proses penilaian.
"Seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum direintegrasi ke dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Razarudin berkata, kedua-dua individu itu diterima dalam keadaan baik dan sihat.
"Mereka sangat bersyukur dapat pulang ke tanah air dan akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu mempamerkan sikap yang positif untuk dinilai dan dipulihkan serta menyatakan komitmen tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif.
"Semua orang berhak mempunyai peluang kedua dan PDRM akan memastikan mereka berjaya mencapai peluang tersebut," katanya.
Padu Rabu, Sinar Harian melaporkan, Amerika Syarikat menyerahkan kembali dua rakyat Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo, Cuba, kira-kira 18 tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, kerajaan juga menerima kedua-dua banduan yang ditahan sejak 2006 itu.
Kerajaan telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan.
KDN merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua individu itu.
Sebelum ini, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik Amin berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!