Nurulloev pastikan derbi utara milik Sang Kenari
KEDAH Darul Aman (KDA) FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, Stadium Darul Aman apabila menewaskan jiran setempat, Penang FC 1-0 pada aksi Liga Super 2024-2025 pada malam Rabu.
Pada aksi derbi utara itu, Sang Kenari berjaya memperoleh gol awal menerusi Sukhrob Nurulloev pada minit ke-10 untuk kedudukan 1-0.
Jaringan pemain sayap dari Uzbekistan berjaya dilakukan selepas memanfaatkan hantaran Milos Gordic selepas melakukan serangan pantas ke kubu Penang FC.
Sang Kenari yang berada pada momentum baik selepas menundukkan wakil kelab Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers 3-0 aksi suku akhir pertama Challenge Cup pada Jumaat lalu terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan.
Walau bagaimanapun, Harimau Kumbang berjaya mengimbangi corak permainan dan menggagalkan beberapa peluang KDA FC sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, Penang FC kembali menyusun permainan mereka untuk memburu gol penyamaan hasil serangan yang digerakkan tonggak mereka yang juga pemain kebangsaan iaitu Syamer Kutty Abba dan Adib Abdul Ra'op.
Namun usaha yang digerakkan oleh pasukan pelawat berjaya dibaca dan dipatahkan oleh barisan pertahanan KDA FC yang diketuai oleh Jose Cleyton.
Harimau Kumbang yang juga berada pada prestasi baik selepas menewaskan Putrajaya Athletic 4-0 di Stadium Bandaraya pada aksi suku akhir pertama Challenge Cup Selasa lalu terus menggandakan usaha memburu gol jaringan.
Walau bagaimanapun keputusan penuh kemenangan 1-0 tetap berpihak kepada KDA FC yang masih bergelut dengan pelbagai masalah walaupun perlawanan diberikan masa tambahan lima minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!