Polis buru dua lelaki samun bersenjata, pecah rumah di Muar

Tangkap layar video tular kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Taman Sri Treh, Muar.
Tangkap layar video tular kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Taman Sri Treh, Muar.
A
A
A

MUAR - Dua suspek yang terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah rumah di Taman Sri Treh di sini, diburu polis selepas kereta digunakan mereka ditemui di Jasin, Melaka pada pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, laporan berhubung kejadian samun terbabit diterima pada jam 6.20 petang, Selasa.

"Pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat. Dua suspek disyaki terlibat dalam kejadian ini.

"Pada kira-kira jam 11.30 pagi, Khamis, polis telah menjumpai kenderaan yang digunakan oleh suspek yang ditinggalkan di Jasin, Melaka.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang terlibat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Sebelum itu, tular beberapa video kejadian di media sosial Facebook menunjukkan dua lelaki bertopeng melakukan pecah rumah dan samun bersenjata dipercayai berlaku di sebuah rumah di Taman Sri Treh.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan masa dan tarikh kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.21 petang, Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam video tersebut, kedua-dua suspek dilihat memakai sarung tangan dan membawa senjata seperti parang dan besi kuku kambing berjalan memasuki rumah mangsa.

Suspek memegang senjata tajam menyorok di sebalik tembok pintu pagar sementara sebuah kereta Perodua Myvi memasuki garaj rumah terbabit dipercayai dipandu oleh seorang lagi suspek.

Salah salah seorang suspek kemudiannya menyelongkar mencari barang berharga dan kelihatan seorang wanita dan kanak-kanak tidur di atas sofa.

Tidak lama kemudian, dua lelaki dipercayai ahli keluarga rumah berkenaan tiba dan cuba memeriksa kereta Perodua Myvi sebelum mangsa diserang kedua-dua suspek menggunakan senjata parang.

Suspek menghidupkan enjin kereta Perodua Myvi dan merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dan motosikal yang diparkir di hadapan rumah.

Suspek kemudiannya berjaya melarikan diri dengan Perodua Myvi berwarna putih.

Difahamkan, salah seorang mangsa cedera terkena libasan parang ketika bergelut dengan suspek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian samun terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor P Seventhi ditalian 011-16251909 atau talian hotline IPD Muar ditalian 06-9526001,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!