Konflik Syria 'belum berakhir'

Penduduk Syria di ibu kota meraikan kejatuhan rejim Assad. Foto Agensi
Penduduk Syria di ibu kota meraikan kejatuhan rejim Assad. Foto Agensi
A
A
A

DAMSYIK - Selama sembilan hari selepas kumpulan pembebas Syria Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan sekutunya mengusir Presiden Bashar al-Assad dan kini mendapatkan perlindungan suaka politik di Moscow, Rusia, konflik di negara itu nampaknya masih belum berakhir.

Penggulingan Assad pada Ahad lalu membawa kepada penamatan pemerintahan kejam rejim tersebut selama lima dekad yang turut menjerumuskan Syria dalam perang saudara.

Sebahagian mayat yang ditemui di dalam sebuah kubur besar di Damsyik. Foto Agensi
Sebahagian mayat yang ditemui di dalam sebuah kubur besar di Damsyik. Foto Agensi

Berikut adalah perkembangan terkini konflik di Syria.

Utusan PBB beri amaran konflik Syria tidak berakhir

Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Geir Pedersen memberi amaran bahawa konflik yang semakin berlarutan Syria belum berakhir walaupun Assad digulingkan kerana ia masih menonjolkan pertempuran antara kumpulan yang disokong Turkiye dan Kurdish di utara masih lagi berlaku.

"Terdapat peningkatan konflik yang ketara dalam dua minggu lepas, sebelum gencatan senjata diuruskan... Gencatan senjata lima hari kini telah tamat dan saya amat prihatin dengan laporan pertempuran masih berlaku," katanya.

Ketua penghijrahan PBB, Amy Pope, sementara itu memberi amaran terhadap kepulangan berskala besar pelarian ke Syria akan menjejaskan kestabilan negara ketika bantuan penuh masih diperlukan menampung penduduk sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memberitahu AFP bahawa puluhan ribu orang telah melarikan diri dari Syria sejak penggulingan Assad kebanyakkan membabitkan minoriti agama.

Puak pemberontak akan dibubarkan

Pasukan pembebas Syria yang diketuai HTS kini memegang tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula keamanan dan kestabilan di negara itu. Foto Agensi
Pasukan pembebas Syria yang diketuai HTS kini memegang tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula keamanan dan kestabilan di negara itu. Foto Agensi

Pemimpin HTS, Abu Mohammed al-Jolani berkata bahawa semua puak pemberontak di Syria akan dibubarkan dan anggota pejuang akan dilatih untuk menyertai barisan kementerian pertahanan negara ini.

"Semua perkara ini akan tertakluk kepada undang-undang," kata Jolani, kini menggunakan nama sebenarnya Ahmed al-Sharaa.

Diplomat Eropah di Damsyik

Seorang wartawan AFP melaporkan delegasi diplomatik Perancis tiba di kedutaan negara itu di Damsyik, yang telah ditutup selama bertahun-tahun.

Britain dan Jerman juga berkata mereka telah menghantar delegasi untuk mengadakan perbincangan dengan kepimpinan baharu Syria.

Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata Rom bersedia untuk terlibat dengan kepimpinan baharu Syria, tetapi menggesa mereka perlu 'berhati-hati semaksimum mungkin' dengan pembabitan kerajaan baharu tersebut.

"Perkataan mesti disusuli dengan tindakan dan kami akan menilai pihak berkuasa baharu Syria atas tindakan mereka,” katanya.

Sementera itu, Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula Von der Leyen berkata blok itu akan memperhebatkan 'pembabitan langsung' dengan pemerintahan baharu Syria.

Donald Trump kecam penggulingan Assad

Presiden Terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan penggulingan Assad sebagai 'pengambilalihan tidak mesra' dilakukan Turkiye yang selama ini menyokong pemberontak.

"Saya berasa Turkiye sangat bijak...Mereka melakukan pengambilalihan tidak mesra, tanpa banyak nyawa terkorban.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan Assad adalah seorang yang kejam dengan apa yang dilakukan kepada kanak-kanak," katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!