Graduan ramai, tapi kelulusan tidak sepadan pasaran kerja
ISU ketidaksepadanan kemahiran merupakan cabaran yang membayangi modal insan Malaysia dan pengangguran dalam kalangan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) terutama siswazah.
Isu berkenaan mencerminkan wujud ketidakseimbangan antara sistem pendidikan tinggi dengan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
Sebelum ini, laporan penyelidikan bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia's Skilled Talent oleh Khazanah Research Institute (KRI) menyatakan lebih satu pertiga daripada graduan tempatan Malaysia yang memulakan kerjaya dengan pekerjaan tidak sepadan dengan kelayakan mereka kekal dalam keadaan tersebut untuk satu tempoh masa.
Ia turut menyatakan 60 peratus graduan telah diambil kerja dalam pekerjaan berkemahiran tinggi sejak satu dekad lalu.
Berdasarkan maklumat berkenaan, ia memberi maksud lepasan universiti semakin ramai dan pasaran kerja yang semakin kompetitif, isu gaji rendah dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelulusan kekal dihadapi kira-kira 40 peratus graduan, tanpa mengira jumlah tahun mereka bekerja.
Graduan kini berdepan cabaran kerana masih banyak IPT menggunakan kurikulum lama dan dianggap tidak relevan dengan perkembangan semasa baik teknologi mahupun keperluan industri semasa.
Impak kepada perkara tersebut, ribuan siswazah dihasilkan tanpa bekalan kemahiran praktikal yang diperlukan oleh majikan.
Sektor industri teknologi, kejuruteraan dan perkhidmatan profesional menuntut kemahiran digital, keupayaan analisis kompleks dan pemikiran inovatif yang ada masanya tidak dipenuhi graduan konvensional.
Terdapat juga laporan menyatakan ramai graduan memiliki kelayakan akademik tinggi tetapi tidak mempunyai kemahiran teknikal dan praktikal yang diperlukan majikan.
Justeru, perlu adanya transformasi kurikulum pendidikan secara menyeluruh di IPT dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak industri untuk merancang program pengajian lebih responsif.
Selain itu, graduan perlu mengubah sudut pandangan mereka untuk lebih proaktif dalam membangunkan kemahiran sampingan, penguasaan teknologi digital dan kemahiran insaniah.
Transformasi modal insan Malaysia memerlukan komitmen pelbagai pihak kerana ia bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau institusi pendidikan, malah melibatkan ekosistem kompleks.
Keberhasilan agenda ini bergantung kepada keupayaan mencipta mekanisme yang fleksibel, inovatif dan responsif terhadap keperluan semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!