Polemik agama jejas keharmonian negara
ANTARA cabaran getir negara pada masa kini ialah diskriminasi terhadap keagamaan. Tahun ini sahaja banyak kes melibatkan perbuatan menyentuh sensitiviti agama, sama ada dilakukan individu atau secara berkumpulan.
Lebih membimbangkan, dengan wujudnya teknologi media sosial, perbuatan menyentuh 3R iaitu agama, raja dan kaum dapat dirakam, disebar dan dipertontonkan secara meluas kepada masyarakat seluruh negara.
Amat menyedihkan apabila platform yang sepatutnya membawa perubahan positif kepada negara, telah disalah gunakan menjadi senjata untuk memusnahkan hubungan antara kaum.
Akibatnya, perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai agama terjejas serta boleh berpecah belah.
Baru-baru ini, tular satu perkongsian video di media sosial mengundang perdebatan ramai melibatkan seorang individu sedang menunaikan solat di dalam air banjir.
Perbincangan berhubung isu tersebut turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.
Mohd Na’im pada 1 Disember lalu menasihatkan masyarakat agar tidak menjadikan musibah banjir sebagai gurauan berlebihan sehingga boleh memudaratkan diri sendiri.
Ujarnya, selain boleh mendatangkan risiko keselamatan, perbuatan itu juga dikhuatiri boleh menimbulkan isu penghinaan kepada agama.
Sudah tentu ramai masih ingat isu hangat di negara kita melibatkan penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di sebuah rangkaian kedai serbaneka pada Mac lalu.
Ia susulan tular video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah ALLAH menerusi media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Petaling Jaya, Selangor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.
Polis merakam keterangan lapan individu termasuk pemilik dan pengasas kedai berkenaan berhubung isu berkenaan. Pihak kedai serbaneka itu bagaimanapun sudah membuat permohonan maaf.
Kes berkenaan menyedarkan ramai pihak bahawa negara jelas tegas dan tidak berkompromi dengan isu sensitif berkaitan agama.
Banyak faktor yang menyumbang kepada polemik agama di negara ini iaitu perbezaan tafsiran agama, pendidikan dan kepentingan politik.
Perbezaan tafsiran agama boleh menyebabkan berlakunya pertelingkahan sesama masyarakat. Dalam konteks Islam, jika berbeza dari segi aliran atau mazhab kadangkala menimbulkan salah faham dalam kalangan umat Islam.
Di samping itu, kurang pendidikan atau lebih tepat lagi kurang pemahaman mengenai agama juga punca membawa kepada salah faham, akhirnya menyebabkan percanggahan pendapat.
Faktor politik juga sering menjadi pemangkin kepada polemik agama di negara ini. Ketika waktu berkempen, parti politik atau pemimpin tertentu menggunakan sentimen agama untuk meraih sokongan pengundi.
Fenomena itu menjejaskan keharmonian antara kaum dan mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Bayangkan jika yang melakukannya adalah wakil rakyat berpengaruh, sudah tentu menjadi contoh tidak baik kepada masyarakat terutamanya generasi muda.
Polemik agama yang berlaku pada masa kini turut dibangkitkan di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bertanyakan kerajaan sama ada terdapat cadangan untuk menggubal undang-undang Akta Harmoni Keagamaan bagi masalah tersebut, atau sebaliknya.
Namun, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy memaklumkan, tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu buat masa ini, memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
Ujar beliau, mana-mana pihak sengaja mengganggu perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang Kanun Keseksaan (Akta 574).
Namun begitu, masih ada yang berani memperlekehkan agama dan menjadikan ‘permohonan maaf’ sebagai tiket untuk meredakan kemarahan orang ramai.
Justeru, amat penting supaya masyarakat diberi kesedaran dan diajar mengenai kepentingan isu 3R dari awal peringkat awal pendidikan bagi mengelakkan polemik tersebut terus berleluasa.
*Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!