[VIDEO] PPZ-MAIWP institusi pertama sedia bayar zakat guna mata wang kripto.
KUALA LUMPUR - Pusat Pengutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) merupakan institusi zakat pertama menyediakan perkhidmatan bayaran zakat menggunakan mata wang kripto.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, terdapat keperluan untuk membimbing umat Islam tentang tanggungjawab zakat berkait aset digital ini seiring dengan perkembangan teknologi blockchain dan penggunaan aset digital seperti mata wang kripto, token digital dan Non-Fungible Token (NFT).
Menurutnya, pembayar kini boleh menunaikan zakat secara langsung dengan menggunakan mata wang kripto.
"Tidak hanya selaras dengan perkembangan teknologi, tetapi inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan tiada golongan yang terlepas daripada menunaikan tanggungjawab zakat mereka tanpa mengira bentuk aset yang dimiliki.
"Transformasi dalam pelaksanaan ibadah melalui medium digital menjadi bukti bahawa Islam terus berkembang dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa umatnya," katanya pada pelancaran Saluran Bayaran Zakat Aset Digital di Wisma PPZ-MAIWP di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Urusan Sharlife Sdn Bhd, Arham Merican.
Beliau berkata, kutipan zakat digital meningkat 73 peratus dengan kutipan hampir RM26,000 pada 2023.
"Pada tahun 2024 bermula Januari hingga terkini, kita berjaya mengutip sekitar RM45,000 yang menunjukkan peningkatan ketara.
"Melalui lonjakan nilai mata wang kripto seperti Bitcoin, Ripple dan Ethereum, saya melihat potensi pembayaran zakat cukup besar terutama dari kalangan pelabur serta pedagang muslim," katanya.
Ujarnya, sebagai permulaan saluran zakat aset digital ini, PPZ-MAIWP telah melantik Sharlife Sdn Bhd sebagai ejen kutipan zakat pertama dengan menggunakan mata wang kripto.
Para pembayar zakat boleh menunaikan zakat aset digital dengan mudah melalui portal Sharlife.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!