Pelakon Lan Zailan meninggal dunia

Allahyarham Lan Zailan
Allahyarham Lan Zailan
A
A
A

PELAKON veteran, Lan Zailan, 66, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.24 pagi pada Khamis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Berita duka itu dikongsikan sendiri isterinya, Ruby Sara Omar kepada Sinar Harian.

“Saya dan anak-anak berada di sisi Allahyarham ketika dia menghembuskan nafas terakhir,” ujarnya.

Tambah Ruby Sara, Lan atau nama sebenarnya Zailan Kamaruddin dimasukkan semula ke PPUM pada Ahad selepas mengadu mengalami kesukaran bernafas.

Bagaimanapun keadaan semakin merosot pada Rabu dan doktor telah meminta keluarga bersedia dengan segala kemungkinan.

“Mewakili suami, saya minta maaf andai Allahyarham ada salah silap, halalkan makan minumnya.

“Semalam ketika dia nazak, saya ada pesan supaya dia maafkan semua orang dan dia sudah mengangguk. Jadi Lan juga sudah maafkan semua,” ujarnya sebak.

Dalam masa sama, Ruby Sara turut berterima kasih kepada semua pihak terutamanya peminat Allahyarham yang tidak putus mendoakan dan memberi sokongan sejak Lan disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat.

Artikel Berkaitan:

Ruby Sara menemani suaminya ketika menerima rawatan di hospital.
Ruby Sara menemani suaminya ketika menerima rawatan di hospital.

Jenazah akan disolatkan di Masjid As-Salam Puchong Perdana sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.

Terdahulu, pelakon yang mula mencipta nama menerusi Suami, Isteri dan.....? disahkan menghidap kanser itu pada 27 November lalu.

Bagaimanapun kanser tersebut sudah merebak ke organ penting lain.

Semasa hayatnya, Lan pernah membintangi drama dan filem seperti Gerak Khas, Zaharul vs Zarina, Takdir Itu Milik Aku dan Bini-Biniku Gangster.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!