Murid Tahun Enam maut terkena renjatan elektrik di sekolah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SERDANG - Seorang murid lelaki Tahun Enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 6.30 petang.

"Pengadu iaitu seorang wanita tempatan berumur 36 tahun membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di kawasan Serdang sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.50 petang," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan.

"Polis masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mengeluarkan sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!