Khabar angin KDA FC tarik diri Liga Super harap tidak betul - Victor
PENGENDALI sementara Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag berharap khabar angin bahawa kelab tersebut bakal menarik siri dari saingan Liga Super adalah tidak betul.
Menurutnya, jika benar terjadi, perkara tersebut adalah sesuatu yang sangat menyedihkan kerana Sang Kenari merupakan sebuah pasukan besar yang sarat dengan kejayaan di pentas Liga Super sebelum ini.
"Sejujurnya saya baru dapat tahu tentang perkara ini kerana melibatkan pengurusan tapi saya sedih kerana Kedah banyak sejarah.
"Saya harap ini sekadar khabar angin saja," katanya pada sidang akhbar selepas aksi Liga Super menyaksika KDA FC menang 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Jelas bekas ketua pasukan Hijau Kuning yang menjulang kejuaraan berganda pada 2007 dan 2008 itu, bola sepak adalah permainan rakyat dan banyak kenangan yang boleh diperolehi dari sukan ini.
"Tak pernah terlintas dalam fikiran saya Kedah akan terkeluar dari cabaran saingan Liga Super, saya rasa sangat sedih, harap berita ini tidak betul," ujarnya lagi.
Sementara itu, mengulas kemenangan pada aksi derbi utara tersebut, Victor memuji kesungguhan semua pemainnya biarpun berdepan masalah dalaman.
Menurutnya, keserasian baik dan kerjasama yang tinggi di antara pemain menjadi kunci kepada pasukan tersebut untuk mampu bertahan sehingga ke hari ini.
"Sebenarnya saya pun tidak tahu sampai bila pemain dapat bertahan kerana masalah kami masih belum selesai tapi saya selalu berbincang dan memahami keadaan mereka.
"Apabila masuk padang saya selalu menasihati mereka agar bermain dengan gembira dan berikan segalanya. Saya gembira kerana mereka masih mampu beraksi pada tahap yang baik," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan difahamkan KDA FC sudah menghantar surat permohonan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk meninggalkan Liga Super dan beralih ke saingan Liga A1 Semi-Pro, musim depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!