Selebriti lelaki miliki ganja disambung reman, kes dirujuk TPR
SEPANG - Pelakon dan pelawak yang ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja di rumahnya di Cyberjaya pada Sabtu disambung reman selama empat hari lagi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, artis berusia 41 tahun itu dibawa ke Mahkamah Sepang bagi proses sambung reman pada Khamis.
"Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan suspek untuk disambung reman selama empat hari lagi sehingga Ahad.
"Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan artis tersebut ditahan reman selama lima hari kerana kesalahan ganja.
Artis tersebut ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Sabtu.
Polis menemukan dua peket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram dan selebriti itu juga disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
Siasatan awal polis mendapati selebriti itu dipercayai telah terlibat penagihan sejak lapan tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!