Kes Kim Seri: Mangsa dinasihat buat aduan rasmi kepada MOTAC

Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 susulan pelbagai masalah yang timbul melalui pakej pelancongan ke Korea yang dikendalikannya.
Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 susulan pelbagai masalah yang timbul melalui pakej pelancongan ke Korea yang dikendalikannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai dinasihatkan membuat aduan rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sekiranya mendakwa menjadi mangsa kes penipuan perkhidmatan agensi pelancongan tidak berlesen yang ditawarkan pempengaruh media sosial, Kim Seri.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, aduan tersebut boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) untuk membantu siasatan selain membuat laporan di balai polis berdekatan.

“Orang awam perlu sentiasa peka terhadap makluman rasmi daripada kementerian dan membuat pengesahan terlebih dahulu mengenai apa-apa pakej yang ditawarkan oleh mana-mana agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan.

“MOTAC juga akan terus memantau perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482],” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa individu didakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik pempengaruh tempatan yang menetap di Korea Selatan itu dengan jumlah kerugian lebih RM600,000.

Di laman Thread, terdapat juga rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan pempengaruh itu merungut dan meluahkan rasa kecewa kerana perjalanan di Korea Selatan tidak seindah seperti mana dikhabarkan.

Dalam pada itu, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 susulan pelbagai masalah yang timbul melalui pakej pelancongan ke Korea yang dikendalikannya.

MOTAC menyarankan orang ramai supaya membeli pakej pelancongan daripada agensi perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan yang berlesan dengan pihaknya.

Artikel Berkaitan:

“Ia bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Senarai agensi berlesan yang terkini boleh diperoleh daripada laman rasmi MOTAC https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab.

“Mana-mana orang yang menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancong atau perniagaan agensi pengembaraan tanpa lesen yang sah boleh disabitkan.

“Ia di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] apabila melakukan kesalahan dan apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!