'JPS sudah lakukan pemantauan, kawasan sekitar hotel selamat'

Gan Yeong Shuoh (kanan) melihat pokok yang tumbang di belakang Hotel Grand River View.
Gan Yeong Shuoh (kanan) melihat pokok yang tumbang di belakang Hotel Grand River View.
A
A
A

KOTA BAHRU - Kawasan sekitar lebih 300 meter dari lokasi runtuhan tebing Sungai Kelantan di Jalan Post Office Lama tidak terjejas dan selamat untuk sebarang aktiviti.

Pengarah Hotel Grand River View, Gan Yeong Shuoh berkata, mereka turut 'dihujani' dengan pelbagai pertanyaan daripada orang ramai dan pelanggan termasuk dari luar negara selepas gambar dan video kejadian itu tular di media sosial.

Bagaimanapun katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melakukan pemantauan dua hari lalu di sekitar hotel berkenaan dan mendapati ia selamat dan tiada pergerakan tanah.

"Kami turut dimaklumkan struktur bahagian bawah binaan hotel kukuh dan tidak terjejas.

"JPS juga akan melakukan pemeriksaan dengan menyeluruh di kawasan ini susulan runtuhan dan akan mengeluarkan laporan berkaitan," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Pokok yang tumbang di belakang hotel tidak menjejaskan pergerakan tanah.
Pokok yang tumbang di belakang hotel tidak menjejaskan pergerakan tanah.

Beliau memberitahu, selepas kejadian runtuhan ada beberapa pelanggan membatalkan tempahan kerana bimbang keselamatan mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, runtuhan berkenaan merupakan kejadian pertama sepanjang beliau mengambil alih hotel itu 21 tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kejadian pokok ara berdiameter lebih 1 meter di laluan pejalan kaki yang dibina oleh pihak kerajaan juga tidak menjejaskan persekitasan hotel.

"Pokok ini tumbang lebih dua minggu lalu akibat angin kencang dan tiada sebarang kesan terhadap struktur hotel," katanya.

Justeru pihaknya akan membuat video pendek untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa kawasan sekitar hotel dan lokasi perniagaan selamat untuk sebarang aktiviti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!