Pengarah, syarikat pembungkus minyak masak didenda RM240,000 beri maklumat palsu

Tertuduh (empat dari kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat pada Rabu. - Foto KPDN Johor
Tertuduh (empat dari kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat pada Rabu. - Foto KPDN Johor
A
A
A

BATU PAHAT - [DIKEMAS KINI] Pengarah dan syarikat pembungkus minyak masak peket didenda RM240,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu selepas didapati memberi maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat penjualan minyak masak.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pengarah, Mohd Nazib Jamean, 46, dan syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 8(4)(B) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau memberitahu, kesalahan dikesan ketika pemeriksaan dilakukan pasukan penguat kuasa KPDN cawangan Batu Pahat susulan audit hasil minyak masak peket di sebuah premis di Tongkang Pechah di sini, pada 10.30 pagi, 22 November tahun lalu.

"Tertuduh telah didakwa di mahkamah kerana telah menimbulkan syak munasabah bahawa ianya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memberi maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat penjualan minyak masak.

"Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Firdaus Ruslan sementara tertuduh diwakili peguam Tan Song Yang. Tertuduh faham dengan pertuduhan dan telah mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan.

"Seorang lelaki tempatan yang merupakan pengarah syarikat pembungkus minyak masak peket, telah dijatuhkan hukuman denda RM90,000 dan sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda manakala syarikatnya pula didenda RM150,000.

"Hakim Tuan Osman Affendi Mohd Shalleh turut memutuskan agar kesemua hasil jualan minyak masak yang berjumlah RM62,000 dilucut hak dan dijadikan hasil kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

KPDN Johor menegaskan akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!