KDA FC nafi hantar surat tarik diri Liga Super
KEDAH Darul Aman (KDA) FC menegaskan tidak pernah menghantar surat mengenai hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga Super dan beralih ke saingan Liga Al Semi-Pro.
Kelab tersebut berkata, pengurusan kelab memohon agar pihak yang telah menyebarkan maklumat palsu tersebut supaya memohon maaf kerana ia telah menjatuhkan reputasi kelab.
"Semua pihak, termasuk media semasa atau pihak wartawan agar lebih sensitif dalam memberi kenyataan supaya tidak cenderung ke arah menyebarkan maklumat palsu dan mencipta persepsi yang tidak baik kepada kelab," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
KDA FC berkata demikian mengulas laporan media difahamkan KDA FC sudah menghantar surat permohonan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk meninggalkan Liga Super dan beralih ke saingan Liga A1 Semi-Pro, musim depan.
Dalam pada itu, pengendali sementara KDA FC, Victor Andrag berharap khabar angin bahawa kelab tersebut bakal menarik siri dari saingan Liga Super adalah tidak betul.
Menurutnya, jika benar terjadi, perkara tersebut adalah sesuatu yang sangat menyedihkan kerana Sang Kenari merupakan salah sebuah pasukan besar yang sarat dengan kejayaan di pentas liga super sebelum ini.
"Sejujurnya saya baru dapat tahu tentang perkara ini kerana melibatkan pengurusan tapi saya sedih kerana Kedah banyak sejarah,' ujarnya.
Pada aksi Liga Super pada malam Rabu, Sang Kenari berjaya memenangi aksi derbi utara apabila menewaskan Penang FC 1-0 biarpun berdepan masalah dalaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!