KTMB: PAC turut berperanan lihat perolehan, projek kerajaan
SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegaskan pihak berkenaan turut berperanan melihat sebarang cadangan perolehan atau projek kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, memulakan prosiding dengan memanggil kementerian untuk memberikan penjelasan sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan termasuk menandatangani kontrak bukan kali pertama ia dilakukan.
Menurutnya, PAC telah mengadakan prosiding berhubung Pengurusan Pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bermula Februari 2024.
“Walaupun belum membuat sebarang keputusan termasuk menandatangani kontrak pelaksanaan terhadap projek itu, jawatankuasa berpendapat... adalah lebih baik untuk kerajaan melalui KKR hadir bagi memberikan penjelasan.
“Apabila jawatankuasa ini mengadakan prosiding, tidak bermakna isu berkenaan berhadapan dengan masalah dari segi ketirisan, pembaziran atau penyelewengan sebaliknya, jawatankuasa ini turut berperanan melihat sebarang cadangan perolehan atau projek kerajaan.
“Ini adalah peranan yang perlu dimainkan oleh PAC sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen sebagai mekanisme semak imbang antara cabang perundangan dan Eksekutif melalui punca kuasa yang diberikan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mempersoal kewajaran siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion.
Beliau berkata, projek berkenaan masih di peringkat perancangan dan tiada sebarang kontrak sudah dimuktamadkan.
Pada 12 Disember lalu, PAC mengumumkan akan memulakan prosiding lima isu baharu pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang antaranya melibatkan prosiding Pengurusan Lapangan Terbang, Pelaburan Domestik Khazanah Nasional Bhd dan Pembangunan Tanah Kuala Lumpur.
Isu lain ialah Ekosistem Perkhidmatan Kesihatan Swasta, Mekanisme Pengawalan, Rangka Perundangan dan Kaedah Pembiayaan melalui Insurans Perubatan; Implikasi Kenaikan Harga Perkhidmatan Swasta kepada Hospital Kerajaan serta Perolehan Kereta Api Elektrik Secara Pajakan Selama 30 Tahun Bernilai RM10.7 bilion.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati memberitahu bahawa kehadiran Anthony Loke ke PAC sebaik sahaja jawatankuasa memulakan Perolehan Keretapi Elektrik (EMU) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bukan satu perkara yang pelik.
“Ini kerana Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) turut hadir di hadapan jawatankuasa.
“Dalam hal EMU KTMB, PAC berpandangan ia perlu diperjelaskan dengan lebih terperinci agar rakyat mengetahui sebab Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memilih model pajakan selama 30 tahun bernilai lebih RM10 bilion,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!