Menabung di TH: Buat pelaburan sambil beramal

MENYIMPAN wang di Lembaga Tabung Haji bukan hanya bermatlamat untuk pelaburan selamat dan pulangan harta menerusi dividen, tetapi ia adalah salah satu daripada usaha bantu-membantu sesama umat Islam memperkukuhkan ekonomi. -Gambar hiasan/ Foto kecil: DR ZULKIFLI HASAN
MENYIMPAN wang di Lembaga Tabung Haji bukan hanya bermatlamat untuk pelaburan selamat dan pulangan harta menerusi dividen, tetapi ia adalah salah satu daripada usaha bantu-membantu sesama umat Islam memperkukuhkan ekonomi. -Gambar hiasan/ Foto kecil: DR ZULKIFLI HASAN
A
A
A

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mula mengeluarkan surat tawaran secara berperingkat kepada mereka yang terpilih untuk menunaikan haji tahun ini.

Jumlah dhuyufurrahman rakyat Malaysia tertakluk kepada kuota rasmi ditetapkan Kerajaan Arab Saudi berdasarkan keputusan Mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Islam Sedunia pada 1988.

Apa jua keputusan dibuat oleh TH sama ada meneruskan, menamatkan atau menyamaratakan bantuan kewangan haji, sudah pasti ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati.

Umumnya, TH telah membuat pertimbangan sebaiknya dengan mengambil kira semua aspek dan kemaslahatan menerusi ketetapan pengekalan kos haji seperti tahun lepas secara keseluruhan.

Dalam usaha meringankan kemampuan jemaah haji, kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan haji sejak tahun 2001, selari dengan konsep ihsan dalam meringankan sedikit keperluan dan persediaan melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

Ketika bantuan itu diperkenalkan, ia hanya merangkumi jumlah 10 peratus dari keseluruhan kos untuk menunaikan haji dan didapati bahawa kos pada tahun 2023 telah menjangkau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan bayaran haji bagi setiap individu.

MENABUNG di TH bukanlah sekadar untuk menikmati dividen semata-mata. Sebaliknya, pendeposit TH sebenarnya telah beramal dan mempunyai saham di akhirat dengan menyumbang kepada keuntungan yang disalurkan, antaranya untuk bantuan kewangan haji.
MENABUNG di TH bukanlah sekadar untuk menikmati dividen semata-mata. Sebaliknya, pendeposit TH sebenarnya telah beramal dan mempunyai saham di akhirat dengan menyumbang kepada keuntungan yang disalurkan, antaranya untuk bantuan kewangan haji.

Artikel Berkaitan:

Sebagai perbandingan, pada tahun 2013, kos haji hanya berjumlah RM15,555, dengan RM5,575 bantuan kewangan untuk setiap jemaah haji yang mencakupi RM95 juta secara keseluruhan.

Bagi haji 2025 pula, kos haji adalah sebanyak RM33,300 dengan jumlah bantuan kewangan mencecah RM261 juta.

Setakat 2001-2024, bantuan kewangan haji yang telah dikeluarkan berjumlah RM2.557 bilion.

Dalam keadaan kos dan kenaikan pelbagai perkhidmatan dan barangan, pihak TH masih mampu mengekalkan kos haji keseluruhan seperti 2024 iaitu RM33,300 seorang.

Bantuan kewangan haji masih diteruskan iaitu sebanyak 55 peratus bagi golongan B40 dan 29 peratus bagi M40, manakala golongan T20 kekal dengan kos haji muassasah 100 peratus.

Secara kesimpulannya, bayaran menunaikan haji adalah masih rendah dan bersesuaian iaitu bagi B40 sebanyak RM 15,000 (termasuk bantuan kerajaan Malaysia sebanyak RM1,000) dan bagi M40 pula RM 23,500. Golongan T20 kekal pada RM 33,300 seorang.

Sekiranya diteliti, kos haji Malaysia adalah masih antara terbaik dunia dengan pakej perkhidmatan yang lengkap dan menyeluruh. Ia merangkumi kos langsung seperti visa haji, sajian, takaful, bas, tiket penerbangan, penginapan, kidanah, pengendalian bagasi, perkhemahan masyair dan mutawif.

DALAM usaha meringankan kemampuan jemaah haji, kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan haji sejak tahun 2001, selari dengan konsep ihsan dalam meringankan sedikit keperluan dan persediaan melaksanakan Rukun Islam kelima itu. -Foto: CANVA
DALAM usaha meringankan kemampuan jemaah haji, kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan haji sejak tahun 2001, selari dengan konsep ihsan dalam meringankan sedikit keperluan dan persediaan melaksanakan Rukun Islam kelima itu. -Foto: CANVA

Bukan itu sahaja, kos tidak langsung juga adalah signifikan dan ia termasuk kaunseling, kursus haji, bimbingan, petugas haji dan perubatan.

Andai dikira dan dipertimbangkan secara keseluruhannnya, sudah pasti kos haji yang dimuktamadkan TH adalah sangat berbaloi dan munasabah.

Malah, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan juga adalah yang terbaik di dunia. Ini diiktiraf sendiri oleh Kerajaan Arab Saudi menerusi Anugerah Labbaitom bagi kategori Kepuasan Tertinggi Dalam Perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.

Ihsan, ta'awun dan beramal

Sedar atau tidak, bantuan kewangan itu memberi manfaat kepada ramai jemaah haji. Bahkan, kesemua pendeposit TH juga telah menyumbang dan secara tidak langsung keuntungan menerusi pelaburan dapat disalurkan untuk meringankan sedikit kemampuan jemaah haji khususnya B40 dan M40.

Ini menunjukkan bahawa konsep ta’awun atau bantu membantu pastinya memberikan pahala dan ganjaran kepada semua pendeposit TH.

Ingin diingatkan bahawa menabung di TH bukanlah sekadar untuk menikmati dividen semata-mata. Sebaliknya, pendeposit TH sebenarnya telah beramal dan mempunyai saham di akhirat dengan menyumbang kepada keuntungan yang disalurkan, antaranya untuk bantuan kewangan haji.

JUMLAH dhuyufurrahman rakyat Malaysia tertakluk kepada kuota rasmi ditetapkan Kerajaan Arab Saudi berdasarkan keputusan Mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Islam Sedunia pada 1988.
JUMLAH dhuyufurrahman rakyat Malaysia tertakluk kepada kuota rasmi ditetapkan Kerajaan Arab Saudi berdasarkan keputusan Mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Islam Sedunia pada 1988.

Pendeposit TH bukan sahaja mendapat khidmat kewajipan zakat, malah turut bersama-sama pendeposit lain berta’awun atau bantu-membantu secara tidak langsung meringankan sedikit kewangan pihak yang memerlukan bagi menunaikan haji.

Bukankah indah suasana apabila kita dapat melihat ada pihak yang berpeluang menunaikan haji dari segenap lapisan masyarakat seperti orang kampung, golongan berpendapatan rendah dan sederhana, pesara serta warga emas dan sebagainya?

Ingatlah, menyimpan wang di TH bukan hanya bermatlamat untuk pelaburan selamat dan pulangan harta menerusi dividen, tetapi ia adalah salah satu daripada usaha bantu-membantu sesama umat Islam memperkukuhkan ekonomi.

Sekurang-kurangnya dapat juga menyumbang kepada kos haji yang munasabah dan bersesuaian.

Awas penipuan haji

Seperkara lagi, setiap tahun ada sahaja pihak yang mengambil kesempatan dengan penipuan pakej haji. Pelbagai langkah telah dilakukan termasuk berkerjasama dengan pihak berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pada masa sama, TH telah melantik dan memberi lesen tahunan kepada syarikat pelancongan tempatan yang berwibawa termasuk Tabung Haji Travel & Services sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).

KOS haji Malaysia adalah masih antara terbaik dunia dengan pakej perkhidmatan yang lengkap dan menyeluruh. Ia merangkumi kos langsung seperti visa haji, sajian, takaful, penginapan dan mutawif serta kos tidak langsung seperti perubatan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
KOS haji Malaysia adalah masih antara terbaik dunia dengan pakej perkhidmatan yang lengkap dan menyeluruh. Ia merangkumi kos langsung seperti visa haji, sajian, takaful, penginapan dan mutawif serta kos tidak langsung seperti perubatan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

TH sentiasa mengingatkan orang ramai untuk memilih PJH berlesen untuk membendung penipuan pakej haji. Syarikat tidak berlesen yang menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji boleh melanggar Seksyen 27 Akta Tabung Haji 1995.

Bukan itu sahaja, mana-mana individu atau syarikat tersebut boleh juga didakwa di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes jenayah penipuan.

Paling penting, Kerajaan Arab Saudi melalui Dewan Ulama Tertinggi telah mengeluarkan hukum yang menetapkan mana-mana jemaah haji yang datang menunaikan haji tanpa proses atau peraturan yang betul adalah haram dan berdosa.

Oleh itu, bakal jemaah haji dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan hanya mendaftar serta menggunakan khidmat agensi yang sah dan diiktiraf oleh TH.

Ketelusan dan integriti adalah aspek penting yang perlu dipastikan untuk mengelakkan sebarang kerugian harta dan keselamatan diri.

HAJI merupakan ibadah yang lebih daripada sekadar ritual dan ia adalah proses transformasi diri. -Foto: CANVA
HAJI merupakan ibadah yang lebih daripada sekadar ritual dan ia adalah proses transformasi diri. -Foto: CANVA

Ingatlah, haji merupakan ibadah yang lebih daripada sekadar ritual dan ia adalah proses transformasi diri. Dengan persiapan rapi, keikhlasan dan penghayatan mendalam, ibadah haji menjadi madrasah kerohanian yang mendidik insan kembali kepada fitrah asal.

Rukun Islam kelima itu menyeru umat Islam untuk sentiasa memperbaiki diri, menghayati erti persaudaraan dan memperkukuh hubungan dengan ALLAH SWT serta sesama manusia.

Semoga kita direzekikan oleh ALLAH SWT untuk menjadi tetamu-NYA dan dhuyufurrahman yang bakal berangkat nanti beroleh haji mabrur serta dipermudahkan segala urusan.

*Artikel ditulis oleh Senator Dr Zulkifli Hasan yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!