[VIDEO] 'Keputusan teruskan SPM buahkan hasil, kehadiran calon lebih 97 peratus'

A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan keputusan meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di semua negeri terjejas banjir pada 1 Disember lalu suatu perkara yang amat sukar.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan itu membuahkan hasil apabila peratusan kehadiran calon SPM bagi ujian bertutur Bahasa Melayu untuk tiga negeri yang paling terjejas berada di paras kehadiran keseluruhan, iaitu 97.49 peratus.

Fadhlina menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Kompleks E, Putrajaya, pada Khamis. Foto Bernama
Fadhlina menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Kompleks E, Putrajaya, pada Khamis. Foto Bernama

"Hujan tidak turun selama-lamanya. Kita membuat keputusan yang sangat sukar untuk tidak menangguhkan peperiksaan SPM setelah mengadakan pelbagai sesi libat urus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini pada Khamis.

Tiga negeri terbabit adalah Kelantan yang merekodkan 97.54 peratusan kehadiran, Terengganu (98.01 peratus) dan Kedah (97.94 peratus).

Menurutnya, pelbagai sesi libat urus bersama pihak berwajib termasuk kerajaan negeri diadakan beberapa sebelum kementerian membuat keputusan terbabit.

"Saya juga bersama Exco Pendidikan Kelantan (Datuk Wan Roslan Wan Hamat) di sepanjang hari, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz ada bersama.

Artikel Berkaitan:

"Ada dia suruh saya tangguh? Tidak ada. Ada dia minta kita pertimbangkan? Tidak ada.

"Apa jawapan beliau, ambo ikut belako, sokong belako keputusan KPM. Ambo bincang lah dengan Datuk Zamri.

"Jadi apakah kita tidak ada simpati terhadap anak-anak kita, jauh sekali kerana simpati dan kasih sayang sangat tinggi, kita buat keputusan tersebut," katanya.

Jelas beliau sewaktu lawatan pascabanjir ke Terengganu baru-baru ini, pelajar memberi maklum balas positif.

“Saya tanya apa perasaan, ada marah pada saya ke sebab teruskan peperiksaan.

(Pelajar jawab), Takdok, takdok sebutir pun marah. Tapi YB saya (pelajar) nak kongsi, saya naik bot empat jam, seronok YB.

"Inilah yang menunjukkan bahawa apa yang mereka lalui itu pertambahan kepada kematangan dan keselesaan mereka untuk berinteraksi dengan kita,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, KPM mengumumkan ujian bertutur SPM diteruskan meskipun beberapa negeri di Pantai Timur sedang dilanda banjir.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL), yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.

Dalam pada itu, Fadhlina turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga murid yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik sewaktu Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sebuah sekolah agama di Serdang.

Walaupun insiden itu berlaku di luar fasiliti KPM, beliau menegaskan aspek keselamatan di sekolah perlu sentiasa dipertingkatkan.

"Kita ambil pengajaran daripada insiden yang berlaku untuk memastikan semua premis sekolah KPM mesti selamat.

"Pemeriksaan keselamatan itu harus dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk elakkan kejadian sebegini berlaku," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kematian seorang penuntut wanita di sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) di Besut, Terengganu yang maut dalam kemalangan melibatkan empat kereta yang bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang–Kuala Lipis pada Rabu.

"Rektor IPG telah mengesahkan bahawa mereka akan membuat lawatan dan kunjungan untuk penyerahan sumbangan serta bantuan psikososial kepada keluarga," jelas Fadhlina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!