Pendakwaan akan rayu keputusan bebas Rosmah

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir bagi Keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadapnya di Mahkamah Tinggi KL hari ini. Foto Bernama
Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir bagi Keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadapnya di Mahkamah Tinggi KL hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, yang melepaskan dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata demikian, selepas prosiding kes selesai.

“Kami akan memfailkan rayuan,” katanya ringkas.

Sementara itu, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Rosmah berkata, pihak pembelaan menjangkakan pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan.

Menurutnya, pendakwaan mempunyai hak untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan anak guamnya.

“Kita akan berjumpa mereka di sana (Mahkamah Rayuan), namun kami memberitahu mereka supaya tidak membuang masa," katanya.

Selain Amer Hamzah, Rosmah turut diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Mohamed Reza Abdul Rahim, Ravijan Nambiar dan Joshua Tay.

Sementara itu, Firoz Hussein berkata, pasukan pembelaan amat teruja dan gembira kerana anak guamnya dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembelaan berterima kasih atas keputusan itu dan menyifatkan, keadilan akhirnya ditegakkan.

“Hari ini, keadilan telah dilaksanakan, kerana Rosmah telah menghadapi pertuduhan yang sama sekali tidak wajar.

“Beliau bertahan dengan kes ini selama enam tahun, kerana pertuduhan itu jelas dirangka untuk anak guam kami,” katanya.

Pada Khamis, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dilepaskan dan dibebaskan atas kes AMLA mencecah lebih RM7 juta dan lima kes berkaitan LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Rosmah ini didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Mahkamah menetapkan prosiding rayuan itu berlangsung pada 5 Mac tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!