Kenaikan gaji: Cuepacs ucap terima kasih kepada PM

Adnan (depan, lima dari kiri) hadir ke Perhimpunan Bulanan Warga Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Muda, Kedah pada Khamis.
Adnan (depan, lima dari kiri) hadir ke Perhimpunan Bulanan Warga Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Muda, Kedah pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merakamkan ribuan terima kasih atas kenaikan gaji pertama Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa hari ini.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, pelarasan gaji secara berfasa iaitu lapan peratus dilaksanakan pada Disember 2024 telah dinikmati anggota perkhidmatan dan pesara awam dengan bayaran pertama bermula pada Khamis.

"Maka kami seluruh anggota dan pesara perkhidmatan awam merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas peningkatan gaji dan pencen pesara.

"Justeru, kami menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya anggota perkhidmatan awam terus memberi pulangan setimpal dengan kenaikan gaji ini dalam bentuk produktiviti dan integriti penjawat awam yang ditingkatkan selaras dengan kenaikan gaji," katanya.

Beliau ditemui media ketika hadir ke Perhimpunan Bulanan Warga Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Muda di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Abdul Gafar Yahya.

Jelas Adnan, dengan pelarasan gaji baharu itu, Cuepacs turut menyarankan penjawat awam menggandakan usaha dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

"Kami kekal beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara dengan nilai tambah ataupun value added yang lain supaya perkhidmatan kami sentiasa dapat dinikmati secara perubahan drastik berikutan kenaikan gaji ini, itu adalah janji kami kepada kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menerusi pelaksanaan SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Januari 2026.

Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim 16 Ogos lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!