Kerajaan tidak tetap had umur guna media sosial

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

IPOH - Kerajaan masih belum berhasrat untuk mengehadkan umur tertentu bagi penggunaan media sosial di negara ini seperti dilaksanakan di Australia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan belum melihat keperluan berkenaan biarpun terdapat cadangan daripada pelbagai pihak mengenai perkara itu.

Menurutnya, pihak kementerian bagaimana pun akan memantau peraturan ditetapkan setiap penyedia platform media sosial bagi had umur untuk membuka akaun media sosial berkenaan.

"Pihak kerajaan waktu ini tidak mempunyai hasrat untuk mengikut jejak langkah seperti di beberapa negara lain termasuk Australia dengan membawa undang-undang khusus mengenai had umur.

"Semua platform waktu ini tentukan bawah 13 tahun tidak boleh buka akaun. Kita nak tengok bagaimana mereka kuat kuasakan had umur itu berdasarkan apa yang mereka sendiri tetapkan," katanya kepada pemberita selepas program Perak Economic Outlook 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Penasihat Kanan SKMM, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sementara itu, Fahmi berkata, mulai 1 Januari tahun hadapan, semua platform media sosial yang mempunyai 8 juta pengguna perlu berdaftar dan berlesen dengan SKMM.

Katanya, pemantauan akan dibuat sejauhmana peraturan berkaitan had umur penggunaan media sosial yang ditetapkan platform media sosial tersebut dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika penyedia platform media sosial berkenaan gagal melaksanakan peraturan had umur yang ditetapkan mereka, barulah kerajaan akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan berkaitan isu tersebut.

Senat Australia sebelum ini telah meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan media sosial, menjadikannya negara pertama di dunia mengambil langkah sedemikian.

Setelah undang-undang itu berkuat kuasa pada penghujung tahun depan, individu berusia 16 tahun ke bawah akan dihalang daripada menggunakan platform seperti TikTok, Instagram, Snapchat, Facebook, Reddit dan X.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anthony Albanese mempertahankan langkah itu dengan menyatakan ia adalah perlu untuk melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan mereka.

Dalam perkembangan lain, Fahmi meminta SKMM untuk berhubung dengan TikTok susulan terdapat kerisauan pengguna mengenai kehilangan wang menerusi platform media sosial itu.

"Kita sedar ramai rakyat di Malaysia termasuk mereka yang terlibat dalam PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) yang memanfaatkan platform seperti Tiktok untuk meniaga, untuk jual-beli.

"Kalau ada satu tren yang merisaukan seperti yang dimaklumkan, saya akan minta pihak MCMC berhubung dengan Tiktok untuk mengenalpasti apa masalahnya dan kita cuba fahamkan dulu sebelum saya boleh maklumkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!