Syarikat stesen minyak, dua pengarah didakwa jual diesel lebih had

Sebuah syarikat stesen minyak dan dua pengarahnya didakwa atas pertuduhan membenarkan penjualan barang berjadual minyak diesel sebanyak 6,562 liter ke dalam sebuah lori yang melebihi had dibenarkan, tahun lalu.
Sebuah syarikat stesen minyak dan dua pengarahnya didakwa atas pertuduhan membenarkan penjualan barang berjadual minyak diesel sebanyak 6,562 liter ke dalam sebuah lori yang melebihi had dibenarkan, tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah syarikat stesen minyak dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan membenarkan penjualan barang berjadual minyak diesel sebanyak 6,562 liter ke dalam sebuah lori yang melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Orang Kena Saman (OKS) iaitu Lim Kok Ban, 63, dan Othman Mohamad Supian, 59, sebagai pengarah yang turut mewakili syarikat terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan secara bersama dengan dua pengarahnya sebagai pemegang lesen runcit telah membenarkan penjualan diesel iaitu barang berjadual kepada kenderaan lori sebanyak 6,562 liter.

Oleh itu, syarikat dan OKS telah gagal untuk mematuhi arahan yang diberi oleh Pegawai Bekalan Malaysia iaitu stesen minyak di seluruh negara dibenarkan menjual diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia tidak lebih daripada 250 liter dengan sekali transaksi sehari ke dalam tangki asal kenderaan.

Salah seorang tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban pada Khamis.
Salah seorang tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen di Seremban pada Khamis.

Kesalahan itu dilakukan pada 21 Ogos 2023 jam lebih kurang jam 7 malam di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai.

Sehubungan itu, syarikat tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Jika sabit kesalahan, mana-mana pertubuhan perbadanan yang melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda maksimum RM5 juta.

Artikel Berkaitan:

Manakala dua pengarah syarikat didakwa di bawah peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 22(4) AKB 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Alimah Mohd Sanusi menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS.

Peguam Rosmira Embong yang mewakili kedua-dua OKS kemudian memohon jaminan paling rendah memandangkan anak guamnya itu menanggung keluarga dan mempunyai masalah kesihatan.

Rosmira berkata, Kok Ban menghidap penyakit diabetes dan darah tinggi manakala Othman menghidap darah tinggi dan masalah buah pinggang.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Februari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!