Polis Johor terima 952 unit kamera badan, tingkat kecekapan anggota

Kumar (kanan) melakukan pemeriksaan barisan ketika Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.
Kumar (kanan) melakukan pemeriksaan barisan ketika Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Johor menerima sebanyak 952 unit kamera badan (bodycams atau BWC) bagi kegunaan anggota yang bertugas di barisan hadapan di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, BWC akan meningkatkan lagi keupayaan dan integriti pasukan polis khususnya yang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat.

“Kamera ini akan digunakan petugas barisan hadapan, tujuan utama adalah supaya segala aktiviti penugasan harian boleh direkodkan.

“Benda ini kita ada sistem akan 'save' (semua perbuatan dirakamkan sistem). Selain itu boleh menyangkal aduan atau tohmahan terhadap pasukan polis atau anggota di lapangan,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, penggunaan BWC akan meningkatkan persepsi masyarakat terhadap pihak polis dan pada masa sama boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk memberi keterangan di mahkamah.

Menurut Kumar, semua BWC berkenaan akan digunakan anggota unit ronda bermotosikal (URB), unit kenderaan pelbagai guna (MPV), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta ibu pejabat polis di setiap daerah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 23 pegawai dan 204 anggota ditugaskan sempena Op Lancar di negeri ini bermula 24 Disember hingga 1 Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, penugasan itu bagi memastikan kelancaran trafik sempena musim percutian dan perayaan khususnya di 49 lokasi kerap berlaku kesesakan lalu lintas dan 31 lokasi sering berlaku kemalangan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini dilaporkan mula menerima 7,648 unit BWC secara berperingkat mulai September lalu hingga Februari tahun depan berdasarkan Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

BWC adalah untuk penugasan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di bawah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), selain akan diperluaskan untuk penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Ia akan ditempatkan di 157 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan 640 balai polis di seluruh kontinjen dan penggunaannya adalah secara berperingkat mulai Oktober lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!