IJM Land kongsi kegembiraan bersama penghuni rumah amal di Seremban
SHAH ALAM - Pemaju hartanah terkemuka Malaysia, IJM Land menyatukan penghuni Pertubuhan Kebajikan Perlindungan Jothi Viyasar sempena majlis Angel Tree Charity Night di S2 Club, Seremban.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Chai Kian Soon berkata,dengan bertemakan ‘Jingle Joy’, telah berjaya membawa kegembiraan dalam kalangan penghuni rumah amal tersebut sambil memupuk semangat kebersamaan.
Menurutnya, seramai 26 individu termasuk kanak-kanak dan ibu tunggal dialu-alukan untuk hadir ke majlis tersebut bagi membawa keceriaan bersempena perayaan hujung tahun yang akan tiba.
“Sejak dilancarkan pada tahun 2016, majlis tahunan ini melambangkan usaha berterusan IJM Land yang tidak berbelah bahagi terhadap masyarakat Seremban, dengan memberi impak positif kepada lebih 150 kanak-kanak.
“IJM Land turut berusaha untuk mengingatkan masyarakat tentang kepentingan sifat murah hati dan belas kasihan.
“Dedikasi kami untuk memupuk masyarakat yang penuh belas kasihan dan inklusif mendorong kami untuk melancarkan inisiatif bermakna seperti ini.
"Kegembiraan yang dikongsi bersama di majlis ini adalah bukti kekuatan komuniti kami dan semangat kolektif yang diutamakan oleh IJM Land,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, menurut Kian Soon, majlis tersebut turut dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk foto interaktif di reruai khas, permainan dan bengkel DIY yang direka khas untuk mencipta kenangan berkekalan.
Tambahnya, kilauan pokok Krismas yang menghiasi S2 Club menghidupkan suasana perayaan yang indah menjadi latar belakang kepada majlis selain jamuan bufet dengan pelbagai pilihan makanan bagi memeriahkan lagi suasana program tersebut.
Selain itu, IJM Land turut mengajak ahli S2 Club dan penduduk setempat menyumbang hadiah untuk permainan serta aktiviti malam tersebut dengan tujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Matlamat kami adalah untuk mencipta kenangan indah sempena musim perayaan, khususnya bagi mereka yang memerlukan.
“Sokongan ikhlas masyarakat Seremban mencerminkan usaha bersama untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif dan penyayang untuk semua pihak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!