Tarik balik tauliah Masri Ramli ikut undang-undang - MAIS

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri). Kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (kanan).
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri). Kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan siasatan dan keputusan penarikan balik tauliah mengajar Mohd Masri Mohd Ramli dilaksanakan dengan teratur mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, siasatan itu dibuat susulan aduan awam diterima berhubung dengan salah laku pemegang tauliah mengajar terbabit.

Justeru, jelasnya, siasatan terperinci telah dijalankan Jawatankuasa Kecil Aduan dan Siasatan selaras dengan Peraturan Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

"Berdasarkan laporan dan syor diterima, Jawatankuasa Tauliah membuat keputusan untuk menarik balik tauliah mengajar kepada individu tersebut berkuatkuasa pada 04 Disember 2024.

"Ini kerana beliau didapati telah melanggar perenggan 22(b) (iii), 22(c) dan 22(f) Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga mengesahkan bahawa individu tersebut telah mengemukakan rayuan bertulis terhadap keputusan Jawatankuasa Tauliah.

"Dan perkara ini akan ditimbang teliti dan diputuskan Jawatankuasa Rayuan selaras dengan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa," ujarnya lagi.

Justeru, MAIS menasihatkan individu berkenaan dan semua pihak untuk menghormati proses rayuan yang sedang dilaksanakan menurut Peraturan- Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebarang keterangan atau penjelasan berhubung dengan penarikan tauliah tersebut hendaklah dibuat oleh individu tersebut mengikut saluran yang sewajarnya melalui rayuan dikemukakan kepada Jawatankuasa Rayuan dan bukannya dengan menularkannya di media sosial.

"Seterusnya, MAIS juga menggesa semua pemegang tauliah mengajar agama Islam untuk mematuhi dan tidak melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan.

"Dalam hal ini, isu istighathah dan tauhid tiga yang ditimbulkan dalam Facebook milik Masri Ramli pada 17 Disember 2024 tersebut telah dijelaskan dalam fatwa yang telah diwartakan di negeri Selangor," jelasnya.

Menurutnya, isu istighathah ini iaitu berdoa kepada ALLAH SWT menerusi (wasilah) para anbiya’, auliya’ dan solihin sama ada masih hidup atau meninggal dunia adalah termasuk dalam perkara khilaf (perbezaan pandangan) dalam kalangan para ulama.

"Oleh itu, adalah lebih baik dan wajar untuk tidak menghukumkan syirik secara mutlak terhadap perkara yang telah diharuskan oleh sebahagian para ulama.

"Isu khilafiyyah ini telah dijelaskan dalam Fatwa Menangani Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furu’yang telah diwartakan pada 31 Julai 2014," ujarnya.

Ujarnya lagi, fatwa tersebut menjelaskan bahawa pandangan jumhur ulama sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.

"Berkaitan dengan isu tauhid tiga perkara ini juga telah dinyatakan dalam Fatwa Hukum Buku Karangan Dr Mohd Naim Yasin Bertajuk “Al-Iman Arkanuhu Wa Hakikatuhu Wa Mubtilatuhu” dan Buku Terjemahannya Dalam Bahasa Melayu Bertajuk “Al-Iman, Rukunnya, Hakikatnya, Pembatalannya” yang telah diwartakan pada 21 Jun 2018," ujarnya.

Fatwa tersebut menjelaskan bahawa buku tersebut bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunah Waljamaah kerana mengandungi elemen, antaranya, pembahagian Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ Wa Sifat (Tauhid Tiga) yang tidak disebut oleh ulama Salaf dan Khalaf.

Justeru, MAIS menegaskan bahawa mana-mana pihak termasuk pemegang tauliah mengajar yang melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Dalam hal ini, jika kesalahan itu dilakukan oleh pemegang tauliah mengajar, tauliah mengajarnya juga boleh ditarik balik menurut Peraturan- Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

"Seterusnya, MAIS juga menegaskan bahawa mana-mana orang berkelayakan boleh memohon tauliah mengajar bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau serta melaksanakan dakwah di negeri Selangor," ujarnya.

Namun, beliau menambah, semua pihak hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 serta fatwa yang telah diwartakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!