Tinggalkan restoran yang meragukan, berikut sebab-sebabnya
ADAKALANYA perasaan ragu bertamu dalam hati walaupun restoran itu sentiasa penuh dan dikunjungi orang ramai untuk menjamu selera.
Andai itu berlaku, sebaiknya usahlah abaikan perasaan tersebut.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, ini kerana Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya meninggalkan perkara yang meragukan.
Begitu juga halnya apabila melihat sesebuah restoran yang kelihatan meragukan.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
“Menurut Al-Imam Ibnu Rajab, perkara yang samar atau syubhat itu akan menyebabkan jiwa orang beriman merasa tidak tenteram.
“Disebabkan itu, sekiranya kita berasa tidak tenteram dengan sesuatu produk atau restoran, maka tinggalkanlah kerana menjaga makan merupakan sebahagian daripada urusan agama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di akaun sosial Facebook miliknya pada Khamis.
Menguatkan lagi hujahnya, Dr Ahmad Sanusi kemudian mengemukakan fakta daripada kitab Ihya Ulumuddin karya Al-Imam Al-Ghazali.
Menerusi kitab berkenaan, Al-Imam Ahmad menyatakan: “Tidakkah kamu ketahui bahawa urusan makanan ini adalah sebahagian daripada agama? Dalam al-Quran, ALLAH menyebut urusan makanan dahulu sebelum amal soleh. Firman ALLAH: ‘Dan makanlah makanan yang baik, kemudian lakukanlah amal soleh’.”
Lantaran itu, ahli akademik tersebut mengingatkan agar kita berhati-hati ketika menyuap makanan kerana ia menjadi darah daging.
“Seorang tabiin yang masyhur, Yusuf Ibnu Asbat pernah memberikan perumpamaan yang menarik tentang penjagaan makanan.
“Beliau memberi perumpamaan bahawa iblis tidak mengganggu hamba yang sibuk beribadah sekiranya makanan mereka kotor kerana makanan yang tidak baik itu telah cukup merosakkan Muslim di luar dan dalam,” tegasnya.
Ia sebagaimana kata Yusuf Ibnu Asbat yang dipetik dalam kitab Az-Zuhd al-Kabir karya Al-Bayhaqi yang menyatakan: “Sekiranya seorang pemuda sibuk beribadah, maka iblis akan berkata: “Cuba perhatikan apa yang dia makan? Sekiranya dia makan daripada makanan yang jahat (kotor), maka tidak perlu kita ganggu dia. Biarlah dia beribadah (dan dalam badannya penuh dengan makanan kotor) kerana makanan yang kotor itu telah memadai buat kita.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!