'Kekuatan jiwa saya, anak-anak kini tiada lagi'

Allahyarham Mohd Azlan bersama isteri dan dua anak mereka.
Allahyarham Mohd Azlan bersama isteri dan dua anak mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - "Arwah lebih banyak mendiamkan diri dan termenung sejak seminggu sebelum kejadian."

Itu kata isteri Allahyarham Mohd Azlan Solehin, 33, yang maut setelah motosikal ditunggang terlibat kemalangan di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari ketika perjalanan pulang dari tempat kerja pada Rabu.

Nurul Nadiah Hamdan, 32, berkata, perubahan sikap arwah suaminya itu dilihat ketara kerana ia amat berbeza dengan karakternya yang sememangnya seorang yang peramah.

"Dia banyak buat hal sendiri, bila tanya sepatah akan jawab sepatah, selebihnya dia banyak mendiamkan diri.

"Sikapnya tak seperti kebiasaan, memang dia seorang peramah, memang selalu bergurau senda bersama saya dan anak-anak, saya tak sangka itu petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, arwah suaminya adalah seorang lelaki dan ayah yang bertanggungjawab dan ceria dengan anak-anak.

"Dia seorang lelaki yang saya kenali sebagai seorang yang memiliki keperibadian yang tinggi, bertanggungjawab dalam soal rumah tangga dan penyabar.

"Begitu juga hubungannya dengan anak-anak, kalau babah mereka ada di rumah, memang riuh rendah jadinya sebab arwah suka bergurau, namun kini gelak tawanya jadi kenangan buat selamanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dirinya sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan bersama anak-anak untuk menempuhi ujian tersebut.

"Bayangkan masa pagi ketika dia keluar pergi kerja, saya sempat kucup tangannya sebelum dia pergi, tak ada sebarang perubahan yang saya perasan, cuma dia kelihatan tergesa-gesa.

"Saya perlu kuat demi anak-anak kami yang masih kecil, saya bersyukur dikurniakan keluarga yang sentiasa memberikan semangat dan doa agar kami tabah menempuh hari mendatang," katanya.

Tambahnya, dirinya juga memohon kerjasama pengguna jalan raya yang melihat kemalangan yang menimpa suaminya itu agar dapat berkongsi maklumat berkaitan kejadian.

"Saya tiada apa permintaan lain cuma saya saya mahu sangat kalau ada yang berada ketika kejadian supaya dapat berkongsi video kemalangan terbabit dengan pihak polis.

"Urusan proses bedah siasat terhadap arwah juga telah dimaklumkan selesai dijalankan, dan insya-ALLAH, arwah akan dibawa pulang untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Bukit Kuching," katanya.

Allahyarham Mohd Azlan meninggalkan seorang isteri serta dua cahaya mata iaitu Muhammad Putra Dzulqarnain dan Muhammad Jebat Sulaiman yang masing-masing berumur tiga dan lima tahun," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa maut setelah motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah lori.

Jelas beliau, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!