Murid lulus PSRA 2024 Selangor meningkat 0.9 peratus
SHAH ALAM - Keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2024 di Selangor mencatatkan peratusan kelulusan sebanyak 89.4 peratus.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan kelulusan sebanyak 0.9 peratus berbanding tahun lepas iaitu 88.5 peratus.
Menurutnya, jumlah calon PSRA yang berdaftar pada tahun ini adalah seramai 45,214 orang dan 99.08 peratus atau 44,799 calon telah hadir menduduki peperiksaan tersebut.
"Peratus calon yang mendapat pangkat mumtaz (cemerlang) ialah 20.5 peratus (9,178 calon), jayyid jiddan (sangat baik) adalah 33.2 peratus (14,865 calon) dan 9,102 calon mewakili 20.3 peratus mendapat jayyid (baik).
"Calon yang mendapat pangkat maqbul (lulus) ialah 15.4 peratus (6,904 calon) manakala musaadah (perlu bimbingan) adalah seramai 4,749 calon iaitu 10.6 peratus," katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan PSRA 2024 di Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini pada Khamis.
Pengumuman turut disekalikan dengan keputusan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SAMTQ), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran Kurikulum Bersepadu Tahfiz (SAMTQKBT), Sijil Agama Turath dan Dakwah (SMATD), serta Sijil Kafa Menengah (SKM).
Mohd Shahzihan berkata, Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) PSRA bagi tahun 2024 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya iaitu 2.53.
Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan keputusan peperiksaan tersebut dan berharap tenaga pengajar terus meningkatkan usaha mendidik pelajar supaya berlaku interaksi baik yang akan dapat bantu meningkatkan pencapaian akademik secara berterusan.
"Prestasi pada tahun ini menunjukkan peningkatan sangat baik, hasil usaha berterusan dilakukan oleh pihak sekolah, pentadbir, guru-guru dan juga ibu bapa sehingga berjaya mencapai kejayaan pada tahap ini walaupun dalam suasana pembelajaran tidak menentu ekoran suasana pascanormal.
"Ia adalah hasil perancangan yang rapi oleh pihak sekolah serta usaha gigih dan kerjasama yang mantap daripada semua pentadbir, guru, pelajar, ibu bapa, PIBG, masyarakat setempat dan semua pihak yang berkaitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!