SKMM, Digital Perak meterai MoU bandar pintar

Fahmi (tiga dari kiri) menyaksikan sesi pertukaran dokumen MoU di antara SKMM dengan Digital Perak sempena Perak Economic Outlook 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.
Fahmi (tiga dari kiri) menyaksikan sesi pertukaran dokumen MoU di antara SKMM dengan Digital Perak sempena Perak Economic Outlook 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalin kerjasama strategik dengan Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) untuk pelaksanaan program bandar pintar yang akan bermula di bandar raya Ipoh di sini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama itu hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak hasil perbincangan yang dibuat sebelum ini.

Menurutnya, kerjasama strategik itu bertujuan membantu pelaksanaan bandar pintar yang komprehensif meliputi usaha mempertingkat infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.

"Kita akan membantu dalam usaha mewujudkan bandar pintar ataupun smart city bermula di Ipoh dan dikembangkan ke lokasi-lokasi lain yang akan ditentukan oleh kerajaan negeri.

"Perbincangan telah bermula seawal bulan Ogos yang lalu dan apa yang telah dimeterai hari ini merangkumi tujuh skop skop termasuk perancangan mengenai usaha memantapkan capaian internet sama ada jalur lebar ataupun mudah alih di seluruh negeri Perak," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas program Perak Economic Outlook 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Penasihat Kanan SKMM, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Fahmi berkata, pihaknya juga akan turut melaksanakan program kesedaran mengenai penggunaan tandatangan digital yang akan memangkin ekonomi digital selain kempen kesedaran terhadap program transaksi komersial tanpa tunai.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, melalui kerjasama berkenaan juga, pihak SKMM memberi bantuan dan nasihat teknikal berkaitan isu keselamatan siber, tanda tangan digital, capaian internet dan juga mengelakkan penipuan berlaku.

Katanya, selain itu pihaknya akan melihat usaha untuk meningkatkan penggunaan dan juga kolaborasi dalam bidang e-dagang serta latihan ICT bagi memanfaatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADi) yang terdapat di seluruh Perak.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir sambil disaksikan oleh Saarani, Fahmi, Mohd Azlan serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.




Perak perkasa PKS tingkat pertumbuhan ekonomi

IPOH - Kerajaan Perak akan terus memperkasa sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memiliki potensi besar untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi memastikan Perak menjadi peneraju ekonomi masa depan, kaedah dan model terbaik terus diteroka untuk menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang akan mewujudkan jaringan dan ekosistem ekonomi yang berdaya saing.

Katanya, berpandukan buku nukilan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertajuk The Globalization: Perak's Rise, Relative Decline and Regeneration, barisan pentadbiran negeri di semua peringkat harus menyelami hikmah yang terkandung dalam buku berkenaan dalam usaha merancakkan perkembangan ekonomi negeri.

"Bagi saya, buku ini bukan sekadar catatan sejarah dan cabaran, tetapi juga panduan berharga tentang bagaimana kita boleh memanfaatkan peluang globalisasi untuk mengangkat martabat negeri dan rakyat Perak ke tahap yang lebih gemilang.

"Usaha penjanaan semula atau regenerating yang ditekankan oleh Paduka Seri Tuanku memerlukan pendekatan baharu dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi dan kekuatan negeri ini dengan menitik beratkan kerjasama dan kebersamaan supaya dapat mengoptimumkan sumber negeri yang kian terhad," katanya ketika berucap merasmikan Perak Economic Outlook 2025 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; barisan exco-exco kerajaan negeri; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Penasihat Kanan SKMM, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Saarani berkata, strategi yang dibina melalui kaedah dan model terbaik itu akan menarik pelaburan yang seterusnya membuka peluang kolaborasi antara syarikat besar, pelabur asing dan PKS Perak.

Jelasnya, langkah-langkah tersebut penting untuk memastikan kelangsungan momentum pacuan ekonomi negeri selepas pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi termasuk lima projek pemacu perubahan ekonomi Perak yang sedang giat dijayakan.

"Bagi menjamin pacuan ekonomi yang berkelanjutan, Perak mesti tampil dengan keberanian dan keyakinan untuk bersaing di pentas global.

"Dalam era globalisasi yang berubah dengan begitu pantas, kita mesti tangkas meneroka peluang baharu, memecah sempadan tradisi, dan mencipta keunggulan tersendiri untuk kekal berdaya saing," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi mencipta kerangka ekonomi yang berkelangsungan, pengisian Perak Economic Outlook 2025 membantu negeri ini melihat potensi dan peluang serta meneliti cabaran-cabaran yang mesti ditangani.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Saarani menjelaskan Perak Economic Outlook merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Institut Darul Ridzuan yang dianjurkan bagi tahun kedua.

Jelasnya, program berkenaan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi dan ahli akademik serta pemegang taruh untuk membantu kerajaan negeri membina kerangka ekonomi.

Pada majlis itu turut diadakan pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Digital Perak Corporation Holding (Digital Perak) bersama Singapore University of Social Sciences (SUSS) dan Institut Darul Ridzuan (IDR).

Turut dilancarkan empat buat buku Siri Terbitan Perak Sejahtera 2030 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!