Pengawal keselamatan dijel 18 bulan, miliki bahan berkaitan Daesh
KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara setahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan memiliki buku, lukisan bendera dan video serta menyediakan artikel berkaitan dengan kumpulan Daesh, Jun lepas.
Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Norulaini Supardi, 34, dan memerintahkan hukuman penjara bagi keempat-empat pertuduhan berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 23 Jun lepas.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memiliki tiga buku, satu lukisan bendera, dan dua video di dalam telefon bimbitnya yang berkaitan dengan kumpulan Daesh di sebuah rumah di Kajang pada 9.25 pagi, 23 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakan mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa atas pertuduhan menyediakan satu artikel berkaitan dengan kumpulan Daesh di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman serupa.
Menurut laporan pakar yang dibacakan di mahkamah mendapati bahan-bahan yang dimiliki dan disediakan oleh tertuduh mempunyai elemen yang subversif atau mempunyai kecenderungan melahirkan kebencian kepada individu, kerajaan atau pemimpin dan boleh menggugat kesejahteraan negara.
Bahan-bahan berkenaan didapati menyokong ideologi kumpulan militan Daesh dan boleh mendorong perasaan benci serta ketidakpuasan hati yang ekstrem. Sokongan terhadap ideologi ini dilihat berbahaya kerana mampu mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian negara, sekali gus menjejaskan kestabilan masyarakat yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam prosiding hari ini, Muhamad Norulaini yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah atas alasan dia mempunyai tanggungan lima anak dan isteri.
“Saya memohon Yang Arif kurangkan hukuman saya. Saya kehilangan seorang anak pada Ogos lepas semasa saya berada dalam penjara,” kata tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ainaa Ridzwan bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
"Dalam kes ini, ia melibatkan kesalahan keselamatan dan ketika laporan pakar dibacakan secara jelas menyatakan item-item ini adalah item yang boleh membawa porak peranda kepada negara. Ia adalah item yang berbahaya dan boleh meruntuh satu demokrasi jika rakyat terpengaruh dengan item-item tersebut.
“Daripada hujah pihak pendakwaan, kita dapat lihat betapa taasubnya tertuduh ini sehingga boleh menulis satu artikel berkaitan dengan ideologi Daesh,” kata Nur Ainaa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!