Akreditasi Makmal Forensik Digital SPRM tingkat kredibiliti di peringkat global
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh Sijil Akreditasi ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia selaras dengan Pelan Strategik SPRM 2021-2024.
Pengiktirafan akreditasi tersebut telah ditauliahkan kepada Bahagian Forensik Digital (BFT) SPRM, menerusi Makmal Forensik Digital pada 13 November lalu di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pengiktirafan itu mencerminkan tahap profesionalisme SPRM dalam memastikan makmal tersebut beroperasi berdasarkan keperluan ISO 17025:2017.
Jelas beliau, ia merupakan standard antarabangsa untuk mengesahkan kompetensi makmal pengujian dan kalibrasi.
"Akreditasi MS ISO/IEC 17025 adalah lebih daripada sekadar pengiktirafan.
"Ia merupakan tanda aras keupayaan teknikal Makmal Forensik Digital SPRM untuk menghasilkan keputusan analisis forensik yang tepat.
"Selain itu, ia mematuhi aspek sistem pengurusan, pengesahan kaedah analisis, kawalan proses analisis serta kompetensi personal makmal," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan Sijil Akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 dan perasmian makmal forensik Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM, di sini.
Hadir sama Pengarah Kanan Standardisasi Jabatan Standard Malaysia (JM), Hussalmizzar Hussain.
Azam berkata, menerusi akreditasi tersebut, hasil analisis forensik digital SPRM bukan sahaja diperakui di Malaysia tetapi juga diiktiraf di peringkat global.
Untuk itu kata beliau, ia membuka ruang kepada SPRM untuk bekerjasama rentas sempadan dalam siasatan dan penyelidikan.
Menurutnya, akreditasi yang diperoleh BFT SPRM melibatkan empat skop iaitu forensik komputer; forensik audio video dan imej; forensik telefon bimbit serta forensik tulisan tangan pengubahsuaian dokumen dan 'stamp impression'.
Tambahnya, dengan pencapaian itu, pihak BFT kini mempunyai mandat untuk memastikan semua proses analisis forensik digital berjalan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
"Akreditasi yang diterima Makmal Foresnik Digital SPRM bukan sahaja mampu memberikan sokongan teknikal yang lebih baik kepada operasi siasatan tetapi juga meningkatkan kredibiliti dan kebolehpercayaan di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!