Solat batal bila menggaru?
KETIKA mengerjakan solat, kadangkala secara tiba-tiba timbul rasa gatal di mana-mana anggota badan dan menyebabkan kita mahu menggarunya.
Timbul persoalan, apakah batal solat jika kita menggaru rasa gatal tersebut? Atau apakah menggaru dibenarkan dalam solat dan tidak membatalkannya?
Pendakwah, Ustaz Azhar Idrus ketika ditanya soalan itu, beliau menjelaskan, pergerakan yang boleh membatalkan solat ialah pergerakan anggota berat seperti bahu, lengan atau pergelangan tangan dengan gerakan yang banyak iaitu tiga kali atau lebih secara berturut-turut.
“Adapun pergerakan anggota ringan seperti jari, ketika menggaru sekalipun berturut-turut ia tidak membatalkan solat kerana dikira sedikit,” jelasnya di Facebook miliknya pada Rabu.
Beliau kemudiannya merujuk kepada kata-kata Imam An-Nawawi di dalam kitab Minhaj at-Talibin:
“Tidak batal pergerakan anggota ringan yang berturut-turut seperti gerakan segala jarinya pada membilang tasbih atau menggaru pada pendapat yang paling sahih.”
Menurut Ustaz Azhar, tidak batal menggaru dengan jari-jari itu selama ia tidak bergerak bersama tapak tangan kerana tapak tangan adalah anggota berat yang boleh membatalkan solat jika digerakkan tiga kali berturut-turut.
Syeikh Abu Bakar Syatha’ pula menjelaskan, tidak batal solat dengan gerakan yang ringan sekalipun banyak dan berturutan.
“Bahkan hukumnya makruh seperti gerakan satu jari atau banyak ketika menggaru atau membilang tasbih serta tidak bergerak tapan tangan,” katanya.
Sementara itu, timbul satu persoalan lain, apakah sah solat jika ketika rukuk, tangan menggaru kepala menggunakan jari tanpa pergerakan besar, lalu terus takbiratulihram tanpa memegang kepala lutut?
Bagi jawapan kepada persoalan tersebut, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan, menggaru kepada menggunakan jari tidak membatalkan solat kerana pergerakan jari dikira sedikit dan tidak membatalkan solat.
“Disunatkan ketika rukuk untuk menggenggam dua lutut dengan tangan sepertimana yang dilakukan Rasulullah SAW.
“Rukuk tangpa memegang lutut lalu terus bangun iktidal tidak membatalkan solat, tetapi tidak menepati sunnah Rasulullah,” jelasnya melalui laman sesawang emusykil.muftiselangor.gov.my.
Menurutnya, terdapat sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Amru bin ‘Ato’ RA, ketika beliau duduk bersama beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW, beliau menyebut tentang solat Nabi SAW.
Maka Abu Humaid As-Saidi RA berkata: “Aku ceritakan kepada kamu sifat solat Rasulullah SAW. Aku lihat apabila takbir, Baginda mengangkat kedua-dua tangan bertentang dengan kedua-dua bahunya dan apabila rukuk, tangannya akan menggenggam kedua-dua lututnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, solat yang terbaik adalah apabila ia dilaksanakan sepertimana diajarkan Rasulullah SAW dengan penuh khusyuk dan merasakan diri sendiri sentiasa diperhatikan ALLAH SWT serta menjauhi pergerakan yang tidak perlu dan sia-sia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!