Polis Delhi dikecam pukul pelajar
DELHI - Tindakan pihak polis Delhi yang menggunakan kekerasan terhadap pelajar Jamia Millia Islamia ketika mereka mengulang kaji pelajaran di dewan bacaan dikecam ramai setelah aksi mereka yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah universiti tular di laman sosial.
Laporan India Today, mendedahkan CCTV itu dirakam pada 15 Disember lalu kemudian dimuat naik di Twitter Jawatankuasa Penyelarasan Jamia (JCC) hari ini.
Video berdurasi 45 saat menunjukkan kakitangan Polis Delhi memasuki dalam dewan secara tiba-tiba sebelum melakukan keganasan dengan memukul pelajar menggunakan sebatang kayu dan menghalau mereka keluar.
Dalam rakaman itu, pelajar dilihat sedang duduk di ruang bacaan tanpa memegang senjata atau mengundang ancaman kepada sesiapa.
Menerusi ciapan dari JCC, pihaknya mengecam tindakan polis itu kerana melakukan keganasan terhadap pelajar yang tidak memberi ancaman.
Reaksi Polis Delhi memberitahu, kes itu telah dipindahkan ke cawangan jenayah dan video itu sedang disiasat.
Pada 15 Disember tahun lepas, pelajar universiti telah menyertai rusuhan secara aman berpunca dari Akta Pindaan Kewarganegaraan yang membenarkan status kewarganegaraan kepada pelarian bukan Islam dari tiga negara Islam.
Sesetengah pihak menganggap undang-undang itu sebagai diskriminasi dan sebahagian agenda puak nasionalis Hindu namun ia telah dinafikan oleh Perdana Menteri Narendra Modi.
Rusuhan itu juga mengakibatkan hampir 60 termasuk pelajar, polis dan bomba cedera.
Setakat ini, video berkenaan meraih lebih 117,000 tontonan sejak dimuat naik jam 4.07pagi tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!