BNM digesa hadkan kenaikan premium insurans kesihatan tidak lebih 10 peratus
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) digesa mengehadkan kenaikan premium insurans kesihatan dan takaful tidak melebihi 10 peratus secara langkah interim sejajar dengan kadar inflasi kesihatan negara, kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Beliau berkata, sebanyak 256 aduan diterima sejak sebulan lepas berhubung kenaikan premium insurans kesihatan dan takaful yang dikatakan amat tinggi.
"Yang mengadu kepada kami adalah dalam kalangan golongan M40 dan juga B40. Ramai pengadu adalah dalam kalangan pesara dan pesakit kanser," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sebagai langkah jangka masa panjang, BNM dan Kementerian Kesihatan disaran untuk menubuhkan satu pasukan petugas untuk mengkaji industri insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) secara keseluruhan dari aspek polisi, perundangan, kawal selia serta penguatkuasaan.
Pada 28 November 2024, BNM mengarahkan syarikat insurans dan pengendali takaful menyemak strategi penentuan semula harga bagi memastikan ia lebih wajar.
BNM dijangka mengumumkan penyelesaian terhadap isu kenaikan kadar premium insurans perubatan tidak lama lagi bagi mengawal kenaikan premium insurans kesihatan dan takaful. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!