Tiga rakyat Malaysia didenda rentas sempadan guna laluan haram

Tiga rakyat tempatan masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia dari Thailand menggunakan laluan yang tidak dibenarkan pada Isnin lepas. Foto Bernama
Tiga rakyat tempatan masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia dari Thailand menggunakan laluan yang tidak dibenarkan pada Isnin lepas. Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Tiga rakyat tempatan masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Malaysia dari Thailand menggunakan laluan yang tidak dibenarkan pada Isnin lepas.

Mohd Karlili Mohd Hussin, 33, yang merupakan pemandu bot tambang bersama penumpangnya Lim Teik Hooi, 21, dan Mohammad Azrol Azhar, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mahkamah turut memerintahkan penjara selama sebulan sekiranya ketiga-tiga individu itu gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memasuki Malaysia dari Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak dibenarkan di Tebing Sungai Pengkalan Haram Pohon Jambu, Rantau Panjang di sini, lebih kurang pukul 4 petang pada 16 Dis.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tiara Shahira Mohd Wira.

Terdahulu, Mahfuzah Hamizah memohon supaya hukuman setimpal dan pengajaran kepada kesemua tertuduh agar menggunakan laluan yang dibenarkan, bagaimanapun Tiara Shahira dalam rayuannya meminta hukuman denda paling minimum diberikan kepada mereka.

Kes ini merupakan pertuduhan pertama direkodkan selepas polis Kelantan menegaskan akan menahan mana-mana rakyat Malaysia yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Dis lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!