Keluarga benteng utama bentuk sahsiah individu lawan rasuah
SHAH ALAM - Langkah praktikal untuk membina integriti bagi melawan rasuah adalah bermula dengan keluarga yang merupakan benteng utama dalam pembentukan sahsiah individu.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mengamalkan integriti seperti kejujuran, tanggungjawab dan disiplin akan membawa nilai tersebut ke dalam masyarakat.
“Sebagai contoh, ibu bapa yang menunjukkan teladan baik seperti tidak berkompromi dengan perkara kecil melibatkan integriti, tidak menipu atau mengelak tanggungjawab akan menanam nilai ini dalam diri anak mereka.
“Pendidikan moral dan agama yang kukuh di rumah adalah senjata ampuh untuk membentuk individu yang bukan sahaja bebas rasuah tetapi menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.
“Ikram percaya, integriti bermula dari diri, berkembang dalam keluarga dan akhirnya mempengaruhi masyarakat sekitarnya dan negara. Inilah sebabnya kami sentiasa menekankan pendekatan holistik dalam usaha membanteras rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman; pendakwah, Roslan Mohamed dan penulis keibubapaan, Adlil Rajiah sebagai panel.
Hadir sama, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan tetamu yang lain.
Mengulas lanjut, Badlishah Sham berkata, terdapat beberapa bentuk rasuah yang sering berlaku dalam masyarakat dan secara tidak langsung boleh mengancam individu serta negara.
“Rasuah politik berlaku apabila kuasa disalah guna pemimpin untuk kepentingan peribadi termasuk membeli sokongan atau menawar jawatan dengan cara tidak telus sehingga menggugat proses demokrasi dan melemahkan sistem pemerintahan.
“Dalam sektor ekonomi pula, kita melihat bagaimana rasuah berlaku melalui penyelewengan dana awam, pemberian projek tanpa ketelusan atau salah guna kuasa dalam tender perniagaan menyebabkan kerugian besar kepada kewangan negara.
“Tidak ketinggalan, rasuah dalam perkhidmatan awam iaitu amalan menerima suapan untuk mempercepatkan sesuatu urusan atau menutup kesalahan tertentu akan melemahkan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap penjawat awam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Badlishah Sham berkata, unsur pertama dalam gagasan 12 Ciri Malaysia Negara Rahmah dibawa Ikram menekankan kepimpinan kompeten dan berintegriti yang menjadi tunjang kepada segala usaha membangunkan negara.
Menurutnya, ia bukan sekadar berkaitan dengan kecekapan teknikal kepimpinan, namun nilai moral dan etika yang dibawa oleh pemimpin.
“Pemimpin yang kompeten harus bijak dalam membuat keputusan berdasarkan fakta dan keperluan rakyat dan pada masa yang sama, integriti memastikan mereka amanah, telus dan tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!