RM844 juta hasil kutipan zakat hingga November - LZS
SHAH ALAM - Seramai 322,000 pengeluar zakat di Selangor menunaikan zakat dengan kutipan keseluruhan berjumlah kira-kira RM844 juta sehingga November tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, jumlah kutipan keseluruhan itu membolehkan LZS membuat agihan sebanyak RM1 bilion.
"Daripada jumlah keseluruhan zakat dikutip pada 2023, zakat perniagaan menyumbang sebanyak RM176 juta yang merupakan sumbangan kedua tertinggi selepas zakat pendapatan.
“Semakan data kami menunjukkan jumlah usahawan Muslim semakin ramai, namun jumlah kutipan zakat perniagaan masih belum mencapai sasaran.
“Meskipun peningkatan kutipan jelas kelihatan, hakikatnya potensi sebenar yang berkelayakan untuk berzakat masih besar jumlahnya (kira-kira 1 juta orang/syarikat) dan bagi tahun ini (2024) kami optimis mensasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM191 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat Imtiyaz di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Seksyen 14 di sini pada Khamis.
Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Miszairi Siritis
Mohd Sabirin menambah, sasaran kutipan zakat menjadi penanda aras kepada LZS untuk berusaha keras dalam memastikan keperluan agihan dapat dipenuhi bagi membantu kehidupan asnaf.
Menurutnya, jumlah asnaf kini melebihi 73,000 ketua keluarga dan dijangka bertambah di seluruh Selangor.
"Justeru saya menyeru kepada anda semua untuk sama-sama membantu LZS meningkatkan lagi kesedaran serta menggalakkan orang ramai agar menjadi lebih peka dan prihatin untuk tampil menunaikan zakat memandangkan kita kini sudah menghampiri penghujung tahun 2024," katanya.
Pada majlis di Wisma PKPS, LZS menerima sumbangan zakat perniagaan daripada 47 syarikat berjumlah RM21,992.075.15 (RM21.9 juta).
PBLT Sdn Bhd mendahului senarai syarikat dengan zakat perniagaan tertinggi sebanyak RM3,664,189.89.
Ia diikuti oleh PLUS Malaysia Berhad dengan jumlah zakat sebanyak RM2,300,000, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (RM1,500,000), SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (RM1,228,204), CIMB Islamic Bank Berhad (RM1,200,000) dan Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. dengan jumlah RM1,035,499.93.
Turut menyerahkan zakat perniagaan masing-masing sebanyak RM1,000,000 termasuklah D'herbs Holding (M) Sdn. Bhd., Wawa Global Sdn. Bhd., Bawal Sdn. Bhd. dan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd.
Dalam majlis sama, LZS turut menyerahkan bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM15,973,728.38.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM8,022,188.38 disalurkan bagi Sumbangan Bantuan Agihan Orang Kurang Upaya (pelbagai) kepada 1,621 pemohon yang menjalani terapi di 66 buah pusat rawatan di Selangor.
Manakala, sebanyak RM6,558,840 disalurkan bagi Bantuan Dialisis kepada 174 orang pesakit yang sedang menerima rawatan dialisis dan RM 1,327,000 disalurkan bagi Bantuan Dermasiswa Zakat Luar Negara & Insentif Pelajar Persendirian (Mesir & Jordan).
Sementara itu bagi memudahkan pembayar zakat, LZS memperkenalkan platform saluran bayaran zakat berkonsepkan crowdsourcing di laman web: www.crowdzakat.zakatselangor.com.my.
Mohd Sabirin berkata, melalui crowdzakat, pembayar zakat boleh memilih kategori agihan zakat seperti pendidikan, kesihatan, makanan dan pembangunan.
“LZS adalah institusi zakat pertama di Malaysia menyediakan platform seperti ini sebelum ini konsep digunakan oleh NGO (badan bukan kerajaan,” katanya.
Jelasnya, laman web ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja bagi membolehkan mereka melihat jenis projek bantuan, sasaran dana, kemajuan dan impaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!