Tiga faktor utama asas pembentukan moral, elak terlibat rasuah

Roslan. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Roslan. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat tiga faktor utama dalam agama Islam yang menjadi asas pembentukan daya tahan moral agar tidak mudah terjebak dengan kegiatan rasuah ialah ilmu, iman dan ketegasan.

Pendakwah, Roslan Mohamed berkata, pihak berwajib perlu mengilmukan masyarakat dengan pengetahuan mengenai agama Islam yang cukup untuk menghindarkan orang ramai terlibat dengan jenayah tersebut.

“Saya sendiri sebagai pendakwah atau penyuruh agama, saya tak lupa sebut hal ini dalam banyak ceramah saya sebab saya faham ada kebimbangan kita dalam soal kehidupan beragama kalau tidak ilmukan dengan cukup, boleh jadi kita akan terlibat.

“Keduanya, kita juga wajar jadikan penghayatan tentang iman yang hidup kerana iman ini sendiri menghidupkan dan membangunkan. Ia bukan mematikan kita...ini asas dalam agama Islam.

“Ketiga, kita mesti hidup dalam suasana yang tegas dan tegur-menegur. Contoh, perjuangan Rasuah Busters ini perlu dilakukan secara berterusan tak kira dalam aspek apa sekali pun, hatta menyentuh soal negara kerana ini kebersamaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman dan penulis keibubapaan, Adlil Rajiah.

Artikel Berkaitan:

Antara peserta forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Antara peserta forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Hadir sama, Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, terdapat tiga pintu paling besar dalam agama Islam iaitu reda, hidayah dan berkat untuk mencapai kebahagiaan di akhirat kelak.

“Bila ALLAH SWT reda, bermakna semua akan aman bahagia. Dapat hidayah, kita akan peroleh jalan keselamatan dunia akhirat dan bila berkat, hidup kita akan tenang.

“Kata para ulama, perjuangan dalam hidup mesti bermula di situ (akhirat) kerana dunia ini bukan segala-galanya. Alam dunia ada awal dan penghujung, berbeza dengan akhirat yang tiada penghujung.

“Tak akan bersama halal dan haram, kalau bersama Islam akan rosak. Yang haram tak akan menyelamatkan kita, dosa tidak buat kita aman dan yang dibawa cuma perkara halal sahaja walaupun ia sikit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Roslan berkata, negara tidak boleh hidup dalam keamanan sekiranya korupsi sudah mengambil tempat dan semakin bermaharajalela dalam masyarakat, pemimpin dan umat Islam.

Ujar beliau, kehidupan beragama perlu menjadi teras dan bermula pada peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) agar jenayah tersebut dapat dihapuskan sepenuhnya.

“Kerakusan nafsu manusia ini memang tak akan pernah habis dan selesai, sentiasa nak banyak dan rasa tak cukup tetapi kalau kita perkemas iman dalam hati kita dapat mengelak kemurkaan ALLAH SWT.

“Keadaan sekarang menakutkan saya lebih-lebih lagi dalam dunia yang sudah terbolos sebab tiada ilmu, apa yang berlaku sekarang, manusia mencari cara untuk puaskan kemahuan sendiri sehingga mengabaikan ajaran agama.

“Kita masih ada harapan jika jadikan agama Islam sebagai teras dalam kehidupan bermula peringkat sekolah dan universiti,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!