Pelesenan media sosial tingkat keselamatan pengguna

Pelesenan media sosial bakal dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.
Pelesenan media sosial bakal dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.
A
A
A
SHAH ALAM - Dunia teknologi dan perhubungan tanpa sempadan kini memberi gambaran bahawa kebebasan berkomunikasi sukar untuk dikawal dan tidak dinafikan kecanggihan itu membawa banyak kebaikan tidak kira aspek ekonomi mahupun sosiologi.

Bagaimanapun, umum perlu mengetahui bahawa kecanggihan juga mendorong kepada kebejatan moraliti manusia kerana kebanyakan platform media sosial membenarkan mana-mana individu membuat pendaftaran sebagai pengguna tanpa perlu mengesahkan identiti mereka.

Perkara sedemikian secara tidak langsung mendorong kepada penggunaan identiti palsu bagi membolehkan mereka berselindung untuk melakukan perbuatan seperti membuli atau memuat naik kenyataan palsu bagi mendapatkan faedah dan sebagainya.

Jika hal sedemikian tidak dapat ditangani, ada kebarangkalian kejadian seperti kematian melibatkan seorang pempengaruh media sosial yang tertekan akibat dibuli pengguna TikTok sejak Mei lalu akan berulang kembali.

Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pendekatan berkenaan dilakukan adalah untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, terutamanya melindungi kanak-kanak dan individu yang terdedah kepada risiko penipuan dalam talian.

Menelusuri kepentingan pelesenan media sosial, Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, ia merupakan satu pendekatan dan pengalaman yang selamat kepada pengguna terutama kanak-kanak serta keluarga.

SARA
SARA



Menurutnya, walaupun ada dalam kalangan masyarakat sivil mengutarakan pandangan bahawa kerangka tersebut terlalu tegas dan berisiko menindas kebebasan bersuara, namun sudah tiba masa melaksanakan hal berkenaan.

Artikel Berkaitan:


“Pemerhati Internet lain menyifatkannya sebagai langkah yang tepat pada masa bagi meningkatkan keselamatan dalam talian ketika jenayah siber semakin meruncing. Ini adalah langkah yang tidak asing lagi.

“Langkah Malaysia untuk memperkenalkan rangka kerja peraturan baharu kelihatan serupa dengan usaha negara-negara lain di rantau ini seperti Indonesia dan Singapura yang bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahaya dalam talian,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sara memberitahu bahawa perkara paling penting adalah untuk mencari keseimbangan antara usaha peraturan dan kebebasan bersuara dalam ekosistem dalam talian.

Beliau berkata, kerajaan perlu memaklumkan dengan jelas tentang kandungan yang dilarang dan jenis sekatan dikenakan.

Dengan adanya pelesenan media sosial, jenayah siber dapat dikurangkan.
Dengan adanya pelesenan media sosial, jenayah siber dapat dikurangkan.



Katanya, rangka kerja itu perlu membezakan dengan jelas antara kandungan yang benar-benar berbahaya dengan ekspresi pendapat, kritikan dan bantahan yang sah terutamanya apabila ditujukan kepada pihak berkuasa dan struktur kuasa.

“Ini akan memberi manfaat kepada pengguna media sosial dan perkhidmatan mesej Internet kerana fokusnya adalah untuk mengawal penyedia perkhidmatan dan memastikan pemain-pemain besar ini bertanggungjawab.

“Contohnya dalam mengekalkan persekitaran digital yang selamat dan bukan bertujuan mengawal pengguna akhir, pempengaruh atau pencipta kandungan,” ujar Sara.

Kurang risiko jenayah kanak-kanak

Pada masa sama, Pakar Kriminologi dari Pusat Pengajian Keadilan Jenayah dan Psikologi, Universiti Penguatkuasaan, Kepimpinan dan Pengurusan (ELMU), Shankar Durairaja berkata, melalui pelesenan itu, kerajaan mengambil langkah untuk melindungi data pengguna.

Menurutnya, ia juga bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dengan menghadkan pengguna di bawah umur 13 tahun, menangani jenayah siber termasuk buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual serta menangani isu deepfake dan kandungan berbahaya yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).

SHANKAR
SHANKAR



“Kita tidak dapat menghapuskan jenayah siber hanya dengan pelesenan ini kerana terdapat pelbagai pendekatan perlu diambil dan ia lebih rumit daripada disangka.

“Bagaimanapun, melalui kaedah itu (pelesenan media sosial), kerajaan mahu memastikan media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan dan masalah yang timbul daripada platform tersebut.

“Salah satu contohnya adalah mewajibkan pengguna untuk berumur lebih daripada 13 tahun. Untuk mencapai matlamat ini, media sosial perlu mempunyai proses pengesahan tertentu untuk membuktikan identiti dan umur pengguna,” katanya.

Dengan cara itu, Shankar memberitahu, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan bilangan sasaran yang sesuai di media sosial daripada menjadi mangsa kepada jenayah siber.

Jelas beliau, dalam senario tersebut menunjukkan bahawa kanak-kanak merupakan sasaran sesuai kerana mereka berhadapan risiko eksploitasi seksual, buli siber dan jenayah lain yang mudah menjerat golongan itu kerana sifat naif dan kurang matang.

“Pada masa sama, proses pengesahan ini menyebabkan pelaku tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik identiti palsu atau anonimiti.

“Platform media sosial mesti mempunyai mekanisme tersendiri untuk memantau dan menyemak kandungan serta memadamkan kandungan yang melanggar undang-undang, termasuk berita palsu dan ucapan kebencian sebelum ia tersebar secara meluas,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!