Ibu bapa wajib faham agama, ubah perilaku keluarga

Hussamuddin ketika menyampaikan ucapan penutup forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Hussamuddin ketika menyampaikan ucapan penutup forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa wajib memahami dan mendalami ilmu agama serta memainkan peranan dalam mengubah perilaku ahli keluarga agar usaha memerangi rasuah dapat dilaksanakan sebaiknya.

Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, pemahaman terhadap ilmu agama juga perlu selari dengan amalan kerana ibu bapa merupakan sosok utama yang membesarkan elemen rasuah kepada anak-anak sejak dari dalam rumah.

“Bukan salah perdana menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan lain-lain, tetapi ibu bapa yang berjuta-juta ini. Jadi, kita kena serah peranan kepada mereka supaya besarkan orang baik-baik yang berjaya dunia dan akhirat.

“Justeru, kita berharap dapat dihimpunkan bersama ahli keluarga di syurga nanti untuk bertemu ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW. Untuk merealisasikannya, kita kena buat perkara baik dan halang benda buruk.

“Rasuah terang-terangan tak baik sebab ia merosakkan masyarakat dan negara. Apa pun, balik kepada keluarga masing-masing serta ubah mereka... Sayang, percaya, takut kepada Tuhan dan nak masuk syurga, insya-ALLAH kita selamat,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup forum khas Bicara Bina Negara bertajuk Keluarga: Benteng Utama, Perangi Rasuah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Sebahagian penonton yang hadir memeriahkan forum khas. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Sebahagian penonton yang hadir memeriahkan forum khas. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis hebat seperti Pendakwah, Roslan Mohamed, Ketua Unit Kaunseling Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman serta Penulis Keibubapaan, Adlil Rajiah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hussamuddin berpandangan, pihaknya semakin yakin dengan perjuangan menentang rasuah sejak 2021 berdasarkan objektif mentransformasi nilai moral dan karakter bangsa selepas mendengar sendiri forum penuh komprehensif yang diadakan pada hari ini.

Katanya lagi, segala permasalahan sosial yang timbul khususnya rasuah boleh diatasi dengan baik sekiranya nilai dalam sistem kekeluargaan kukuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!