Didakwa perlekeh wanita Iban, Ifa Raziah mohon maaf

Ifa Raziah mohon maaf di atas kesilapan yang berlaku.
Ifa Raziah mohon maaf di atas kesilapan yang berlaku.
A
A
A

PENYANYI dan usahawan, Datuk Ifa Raziah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa memperlekehkan kaum Iban menerusi penulisan komen di ruangan komen sahabatnya.

Jelas Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, beliau tiada niat untuk mencetuskan provokasi dalam komen sebaliknya hanya bergurau dengan sahabat baiknya, Kelly Azman.

"Saya terkejut kerana komen yang ditinggalkan itu sudah berlaku enam minggu lepas tetapi hanya tular tiga hari lepas dan kebetulan saya berada di Singapura.

"Terkejut juga bila ramai masuk ruangan komen dan serang saya. Bila diperiksa baru saya tahu ia dari video Kelly Azman.

"Namun pada ketika itu, saya dan Kelly gurau sahabat. Bila gurau antara sahabat memang kita tidak maksudkan apa-apa," katanya menerusi perkongsian video di Instagram.

Penyanyi lagu Ser Ser Ser ini menegaskan, komen 'Ingatkan perempuan Iban mana yang tersesat' itu sama sekali tidak bersifat ke arah percubaannya untuk 'body shaming atau 'face shaming' etnik tertentu.

"Saya tak bermaksud apa-apa pun dengan komen itu. Pertama kali lihat video Kelly itu, saya nampak 'head gear' yang dipakai atas kepalanya sangat cantik.

"Selalunya orang Semenanjung tidak pakai perhiasan kepala begitu, lagipun Kelly nampak tidak tentu arah ketika menyanyi dalam video itu. Sebab itu terkeluar ayat begitu, tetapi saya tidak ada niat langsung untuk mengatakan orang Iban.

Artikel Berkaitan:

"Setahu saya juga, orang Borneo paling cantik di Malaysia. Saya pun ada ramai kawan orang Sarawak dan Sabah daripada pelbagai kelompok etnik. Jadi, takkan saya nak main sentimen perkauman. Tidak terdetik di hati saya," ujarnya.

Bagaimanapun selebriti berusia 49 tahun itu lewat membuat permohonan maaf kerana berada di Singapura atas urusan kerja dan tidak mahu membuat penjelasan ringkas menerusi siaran langsung atau pun hantaran di media sosial bagi menggelakkan salah faham berpanjangan.

"Untuk orang Borneo, Sabah, Sarawak dan orang Iban, demi ALLAH saya tiada niat untuk menggores perasaan anda.

"Sekiranya ada ayat saya yang menggores hati orang Iban khususnya, saya susun sepuluh jari dan mohon maaf.

"Saya harap penjelasan yang saya buat ini dapat menyelesaikan isu yang berlaku. Saya tak ada niat, tak sengaja. Itu hanya gurauan antara saya dengan sahabat baik dan orang mungkin salah faham," jelasnya lagi.

Terdahulu, komen Ifa itu mendapat kecaman hebat netizen selepas dikongsi seorang pengguna aplikasi Threads yang memuat naik tangkap layar hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.

Dianggap sebagai komen berbaur provokasi, pemilik akaun Threads terbabit turut mempersoalkan tindakan Ifa yang disifatkan tidak menghormati etnik kaum di Sarawak itu.

Justeru, rata-rata netizen meninggalkan komen kesal dengan tindakan Ifa kerana dianggap bersikap kurang peka terhadap sensitiviti kaum di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!